Rodri sedia perang fizikal hadapi Argentina

Rodri sedia perang fizikal hadapi Argentina


NEW YORK: Kapten Sepanyol, Rodri menjangkakan aksi final Piala Dunia menentang juara bertahan Argentina, esok, bakal berlangsung dalam suasana lebih fizikal namun menegaskan pasukannya tidak akan terheret dengan sebarang provokasi pihak lawan.

Pemain tengah Manchester City itu berkata, Sepanyol akan memberi tumpuan kepada corak permainan sendiri dan berusaha mengawal perlawanan apabila turun menentang Lionel Messi serta rakan-rakan di pentas akhir.

Rodri yang dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2024 berkata, perlawanan akhir itu dijangka berbeza berbanding aksi lain yang dilalui Sepanyol sepanjang kejohanan.

“Saya fikir perlawanan Ahad nanti akan sangat berbeza. Ia akan menjadi lebih fizikal dan kami perlu bersedia.

“Namun, kekuatan pasukan kebangsaan ini adalah kemampuan kami bermain dalam pelbagai situasi. Kami boleh bertahan, melakukan serangan balas atau menguasai permainan.

“Kami adalah pasukan yang lengkap dan sebab itu kami berada di sini,” katanya dalam sidang media.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Argentina menggunakan pendekatan provokasi, Rodri menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada bola sepak namun menegaskan Sepanyol tidak akan terpengaruh.

“Itu sebahagian daripada bola sepak. Kami akan lihat bagaimana permainan berlangsung.

“Kami perlu mengabaikannya jika berlaku perkara sedemikian dan terus bermain mengikut rancangan kami supaya tidak terjebak dengan provokasi,” katanya. – AFP



Source link

OR

Scroll to Top