am@hmetro.com.my
Tanah Merah: “Saya panggil nama dia berkali-kali, tetapi dia sudah tidak menyahut.” Itu luahan pilu Azwani Mohd Noor, 38.
Azwani adalah kakak sulung kepada Mohammad Zakwan Mohd Nor, 25, salah seorang daripada tiga mangsa yang maut selepas lori muatan ayam yang dinaiki merempuh treler di Lebuhraya Timur Barat dekat Batu 7, Batang Merbau, hari ini.
Katanya, dia mengetahui insiden berkenaan, 6.30 pagi tadi selepas dihubungi rakan arwah yang memaklumkan adiknya terbabit dalam nahas.
Ktanya, ketika dia sedang menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya pada mulanya bercadang untuk menunggu di Hospital Tanah Merah, namun rakan arwah meminta saya terus ke lokasi kejadian.
“Apabila sampai di lokasi, saya melihat anggota bomba sedang mengeluarkan adik saya yang tersepit di dalam lori dan selepas berjaya dikeluarkan, dia diletakkan di atas pengusung dan ketika itu masih lagi bernafas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.
Katanya, pada ketika itu, tiba-tiba keadaan adiknya sudah nazak dan seorang pembantu perubatan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan dia hanya mampu memanggil nama arwah berkali-kali.
“Namun ketika hendak dibawa masuk ke dalam ambulans, dimaklumkan arwah adik sudah meninggal dunia,” katanya dalam nada sebak.
Katanya, arwah adiknya sebelum ini bekerja sebagai kelindan treler bersama suaminya dan baharu sebulan bekerja sebagai kelindan lori ayam.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Chanang,” katanya.
Sementara itu, Noraida Talib, 46, isteri kepada pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa suaminya kira-kira jam 5 pagi tadi selepas dihubungi rakan arwah.
Katanya, sebaik menerima berita itu, dia terus bergegas ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan kepastian mengenai keadaan suaminya dan tidak lama kemudian arwah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Arwah sudah 10 tahun bekerja sebagai pemandu lori ayam dan sering berulang-alik menghantar bekalan ke beberapa negeri.
“Perbualan terakhir saya dengan arwah adalah pada pagi semalam dan arwah sempat bertanya khabar dan keadaan anak-anak,” katanya.
Katanya, jenazah suaminya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lawang, Tanah Merah selepas selesai proses bedah siasat.
- ‘Ini kali terakhir saya naik lori, lepas ini saya mahu berehat’
- ‘Saya sempat minta dia mengucap syahadah sebelum pergi’
- 3 maut nahas lori ayam dengan treler diparkir tepi jalan
© New Straits Times Press (M) Bhd
