Agihan kekayaan lebih adil, saksama

Agihan kekayaan lebih adil, saksama



asyikin.mat@hmetro.com.my

Inisiatif kerajaan merancang dan mengawal perbelanjaan serta pendapatan negara sudah dibentangkan menerusi Belanjawan 2025 Jumaat lalu.

Belanjawan kali ini memberikan penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi dan menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil serta saksama.

Ikuti wawancara Pakar Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur bersama wartawan Nor ‘Asyikin Mat Hayin bagi mengupas isu ini.

Pandangan Dr dengan pembentangan Belanjawan 2025?

Pandangan saya belanjawan 2025 ialah pendekatan dasar fiskal mengembang dengan kadar defisit fiskal yang semakin rendah di bawah empat peratus.

Kalau dilihat daripada segi jumlahnya, ia melebihi RM300 bilion yang selama bertahun negara mengalaminya.

Kini defisit fiskal mencapai RM421 bilion yang menyasarkan beberapa perkara dan inisiatif baik kerana membuka langkah ke arah negara berpendapatan tinggi.

Bagi saya, langkah itu sangat penting terutama ketika ini keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan lebih berdaya saing.

Oleh itu, saya berharap menerusi langkah ini, kerajaan akan cuba merealisasikan apa sahaja yang dirancang seperti usaha sama antara kerajaan dengan swasta, memperkenalkan cukai baharu terutama kepada golongan kaya dan syarikat atau individu warga asing.

Jika kita lihat dengan ada pengenalan rasionalisasi subsidi petrol pada pertengahan tahun depan dan rasionalisasi subsidi, ia dapat meringankan beban negara.

Untuk pendidikan pula, jika mereka tidak layak pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Majlis Amanah Rakyat (Mara), maka pastikan sekurang-kurangnya layak mendapat pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pinjaman lain oleh pihak swasta atau agensi lain.

Cukai baharu seperti cukai pulangan dividen dan cukai karbon dapat meningkatkan hasil negara dalam masa sama mengurangkan kesan eksternaliti negatif.

Misalnya cukai karbon menyebabkan syarikat mengubah penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Maka, isu pemanasan global berkurangan seperti suhu panas, banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Manakala cukai dividen, membolehkan negara mendapat sumbangan kekayaan pemegang aset kewangan dalam kalangan golongan T10 demi kesejahteraan rakyat.

Adakah pembentangan belanjawan ini menyeluruh?

Belanjawan 2025 menyeluruh kerana kerajaan membantu kakitangan awam juga swasta. Sering kali saya mengutarakan pendapat bahawa pendidikan sangat penting termasuk kepada kalangan kakitangan awam. Sekiranya kerajaan mahu memastikan kakitangan awam memilik pendapatan lebih tinggi, maka mereka perlu melanjutkan pengajian lebih tinggi. Alhamdulillah kerajaan menyambut baik saranan itu supaya kakitangan awam tidak terikat dengan tangga gaji rendah.

Bagi kakitangan swasta pula, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan.

Langkah ini mendapat reaksi berbeza antara majikan dengan pekerja.

Bagi pekerja, peningkatan gaji itu memberi kelegaan kepada mereka kerana dapat membantu menampung kehidupan.

Manakala majikan pula akan terbeban kerana kos operasi meningkat terutama syarikat industri kecil yang mempunyai pekerja dua hingga tiga orang atau lebih.

Ini secara tidak langsung, mereka sebenarnya perlu memikirkan penggantian daripada segi pekerja yang terpaksa dikurangkan atau sebagainya.

Di sini peranan automasi dan sebagainya boleh dilaksanakan walaupun syarikat kecil.

Mungkin kerajaan kena memikirkan untuk memberikan insentif dan sebagainya supaya pengusaha syarikat kecil dapat meneruskan perniagaan mereka.

Bagi wanita pula, mereka mendapat galakan daripada segi pekerjaan dan sebagainya.

Cuma saya berharap supaya turut memberikan fokus sokongan berterusan terhadap pekerja wanita ini kerana mereka turut mempunyai tanggungjawab lain sebagai ibu.

Apa peruntukan belanjawan luar jangka kerajaan kali ini yang tidak pernah ada dalam belanjawan sebelum ini?

Peruntukan RM2 bilion simpanan luar jangka adalah sesuatu yang positif.

Belanjawan luar jangka sangat penting untuk kegunaan waktu kecemasan seperti pandemik Covid-19.

Sekarang peperangan yang berlaku di Timur Tengah mungkin berlarutan tempoh panjang.

Senario seperti ini akan memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dunia dan belanjawan luar jangka akan digunakan untuk menampung kos subsidi bagi mengurangkan beban rakyat.

Setiap tahun, setiap kali berlaku keadaan luar jangka, kerajaan terpaksa memikir atau membuat belanjawan semak semula.

Ini idea yang baik supaya belanjawan luar jangka boleh dibuat dengan segera tanpa kelulusan daripada jemaah menteri dan kabinet atau sebagainya.

Bagaimana Dr melihat pemotongan gaji 20 peratus untuk menteri dan pegawai lantikan politik bakal memberi impak kepada ekonomi?

Impaknya tidak terlalu besar kepada ekonomi. Pemotongan 20 peratus gaji menteri dan pegawai lantikan politik memberikan gambaran mereka bekerja untuk rakyat bukan kerana menginginkan gaji besar.

Namun begitu, diharapkan mereka tidak mengurangkan tanggungjawab kepada rakyat, sebaliknya bekerja dengan lebih kuat.

Kerajaan memberi peruntukan besar dalam pendidikan dan kesihatan. Pendapat Dr?

Saya menyokong langkah kerajaan memberikan peruntukan belanjawan 2025 yang besar dalam pendidikan tinggi disebabkan bayaran enrolmen guru relatif tinggi.

Lebih penting peruntukan ini dapat meneruskan projek untuk membaik pulih tandas sekolah.

Perdana Menteri juga ada menyebut untuk menambah infrastruktur lain seperti kantin, kelas dan sebagainya.

Selain itu, kita juga ketahui banyak negara masuk ke Malaysia membuat pelaburan dan mencapai pelaburan asing yang tinggi dalam sejarah.

Jika ada pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, contoh dari negara maju, mereka (negara maju) memerlukan tenaga buruh berkemahiran tinggi dan profesional.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menunjukkan latihan ini sangat penting, begitu juga dengan kecerdasan buatan (AI).

Ini membuka lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi, meluaskan peluang perniagaan dan menikmati impak penting limpahan ekonomi.

Manakala kesihatan pula, kita tahu selepas pandemik Covid-19, banyak peningkatan kes penyakit kritikal.

Bagaimanapun, saya berpendapat kerajaan juga perlu mengenakan cukai lemak untuk makanan berlemak, kolesterol tinggi dan sebagainya seperti diamalkan negara maju.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top