Muzium Pulau Pinang dibuka semula selepas sembilan tahun

Muzium Pulau Pinang dibuka semula selepas sembilan tahun


GEORGE TOWN: Muzium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Farquhar di sini kini dibuka semula kepada umum sejak ditutup untuk kerja-kerja pemulihan dan naik taraf menyeluruh pada April 2017 yang lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu melibatkan proses restorasi bangunan warisan bagi mengekalkan seni bina asalnya serta pembangunan ruang dalaman serta pameran baharu yang lebih moden, interaktif dan mesra pengunjung.

Beliau berkata, ketika ini, muzium yang telah dinaik taraf sepenuhnya dengan kos mencecah RM18 juta itu menempatkan sebanyak 15 ruang pameran yang menghimpunkan kira-kira 1,200 artifak berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan Pulau Pinang.

“Dengan sokongan teknologi seperti sistem projektor berteknologi tinggi, kiosk interaktif, simulator serta penggunaan pengesan gerakan, kerajaan negeri percaya bahawa pengalaman pembelajaran sejarah kini menjadi lebih menarik, inklusif dan berimpak tinggi khususnya kepada generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian muzium berkenaan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, malam tadi. Hadir sama Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai.

Tambah Kon Yeow, dengan pembukaan semula muzium itu, kerajaan negeri menyasarkan untuk menerima kedatangan sekurang-kurangnya 2,500 pengunjung setiap bulan atau kira-kira 30,000 orang setahun.

Difahamkan, sebagai galakan kepada orang ramai untuk mengunjungi Muzium Negeri Pulau Pinang, kemasukan adalah diberikan secara percuma sehingga 31 Ogos ini.

Sementara itu, Hon Wai memaklumkan, sebuah lagi cawangan Muzium Negeri Pulau Pinang yang memfokuskan pameran mengenai kepelbagaian etnik, warisan budaya dan identiti masyarakat berbilang kaum di negeri itu akan dibuka di Bangunan No. 57, Jalan Macalister mulai 16 September ini.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top