am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Pelajar lelaki di sebuah tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didakwa mencederakan rakan hingga patah tangan gara-gara mengejek mangsa melaungkan azan kurang merdu.
Tertuduh berusia 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa yang berusia 14 tahun dalam kejadian di surau tahfiz di Ayer Hitam pada 1 tengah hari, 30 Jun lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Zurina Sidek.
Berdasarkan laporan, pada hari kejadian, mangsa ditugaskan melaungkan azan, namun tertuduh didakwa mengata azan dilaung tidak merdu, menyebabkan mangsa marah, lalu menampar muka tertuduh.
Tertuduh kemudian didakwa membalasnya hingga berlaku aksi tolak menolak, sebelum mangsa terjatuh dan pergelangan tangan kirinya patah.
Susulan kejadian, ahli keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam.
Mahkamah menetapkan 29 September untuk serahan dokumen dan laporan akhlak, manakala tertuduh dibenar ikat jamin RM1,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd






