PRN N.9: Zahid cadang Pegawai Khas Orang Asli di pejabat MB jika BN menang

PRN N.9: Zahid cadang Pegawai Khas Orang Asli di pejabat MB jika BN menang


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan jawatan pegawai khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan bakal diwujudkan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Permintaan yang munasabah

Memetik laporan daripada Astro Awani, Pengerusi BN itu menyatakan, cadangan tersebut dibuat selepas menerima permintaan daripada Tok Batin dan menyifatkannya sebagai satu permintaan yang munasabah kerana jawatan sama telah diwujudkan di beberapa negeri lain.

“Kalau di Perak pun boleh dilantik, pastikan kerajaan yang akan memerintah Negeri Sembilan ialah kerajaan Barisan Nasional. Insya-Allah, akan ada pegawai khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar.
“Ini permintaan mereka dan saya fikir permintaan itu adalah munasabah kerana di Pahang dan Perak, jawatan itu telah diwujudkan.
“Kita lihat hubungan terus kepimpinan Orang Asli dengan Pejabat Menteri Besar di kedua-dua negeri itu berjalan dengan baik.
“Saya juga ingin mencadangkan supaya di Johor, memandangkan ramai masyarakat Orang Asli di negeri itu, Menteri Besar Johor dapat melantik seorang pegawai khas yang mewakili masyarakat Orang Asli di pejabat beliau nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan di Kampung Tohor.

Usaha bela Orang Asli bukan hanya pada pilihan raya

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan usaha membela kebajikan masyarakat Orang Asli yang dilakukan BN bukan hanya tertumpu ketika musim pilihan raya, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau sentiasa mengambil berat hal ehwal masyarakat Orang Asli dengan mengadakan pertemuan bersama Tok Batin sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun.

“Ertinya, saya mengambil kepedulian kepada masyarakat Orang Asli. Setiap tahun, paling kurang saya jumpa dua kali Tok Batin.
“Ini bukan kempen pilihan raya sahaja. Bukan lima tahun sekali baru datang ke Kampung Tohor ini,” katanya.

 





Source link

OR

Scroll to Top