Maresca mahu teruskan legasi Guardiola di Manchester City

Maresca mahu teruskan legasi Guardiola di Manchester City


London: Pengurus baharu Manchester City, Enzo Maresca tidak bercadang melakukan perubahan besar terhadap corak permainan pasukan itu, sebaliknya mahu meneruskan legasi yang dibina Pep Guardiola sepanjang sedekad mengemudi kelab berkenaan.

Maresca yang dilantik bulan lalu menggantikan Guardiola berkata, falsafah permainan menyerang dan menguasai perlawanan akan terus menjadi identiti City ketika dia memulakan era baharu di Stadium Etihad.

Bekas pengurus Leicester City dan Chelsea itu mengakui tugas menggantikan Guardiola bukan sesuatu yang mudah, namun percaya struktur kukuh dimiliki City mampu memastikan peralihan berjalan lancar.

“Saya menganggap Pep sebagai jurulatih terbaik dunia dalam tempoh 20 hingga 25 tahun terakhir. Ia satu cabaran, tetapi juga satu penghormatan buat saya.

“Selepas pengurus yang berkhidmat begitu lama seperti Alex Ferguson dan Arsene Wenger, memang sukar untuk pengganti mereka. Namun saya mahu melakukan yang terbaik untuk organisasi ini, penyokong dan semua pihak,” katanya.

Maresca yang pernah menjadi pembantu Guardiola pada musim 2022 hingga 2023 berkata, City memiliki kestabilan pengurusan yang menjadi faktor utama keyakinannya.

“Kelab ini hanya mempunyai tiga pengurus dalam tempoh 17 tahun dan itu bukan sesuatu yang biasa. Sebab itu saya yakin kami boleh meneruskan apa yang dibina sejak era Roberto Mancini lagi.

“Mungkin sebab utama kelab memilih saya ialah kerana mereka melihat konsep permainan yang hampir sama dengan pengurus terdahulu iaitu agresif tanpa bola, mengawal permainan dan paling penting memenangi perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, Maresca mengesahkan City bakal memulakan musim tanpa tonggak tengah, Rodri yang akan menjalani pembedahan belakang selepas membantu Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026.

Beliau turut menepis spekulasi mengaitkan Rodri dengan perpindahan ke kelab lain dan percaya pemain itu akan kembali lebih kuat selepas pulih sepenuhnya.

“Rodri adalah antara pemain terbaik dunia, jadi spekulasi seperti ini perkara biasa. Dia akan menjalani pembedahan Isnin ini, kemudian berehat dan saya yakin dia akan kembali bersama kami.”

Maresca turut membuka peluang kepada Jack Grealish untuk membuktikan kemampuannya selepas pemain itu kembali daripada tempoh pinjaman bersama Everton musim lalu, sambil menjelaskan semua pemain yang masih mempunyai kontrak bersama City akan diberi peluang bersaing merebut tempat dalam skuad utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top