kartika@mediaprima.com.my
Shah Alam: MCC Label Asia Pacific memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi menerusi penganjuran sesi perkongsian ilmu Beyond The Label: How Labels Shape Modern Brands bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Program di Galeri Lakeside, UiTM Puncak Alam, baru-baru ini, dan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perkembangan industri label dan pembungkusan.
Ia menghimpunkan pelajar serta pemain industri bagi membincangkan peranan label yang kini semakin penting dalam penjenamaan, inovasi pembungkusan dan komunikasi jenama.
Pengurus Besar MCC Label Malaysia, Goh Chun Leng berkata, sesi berkenaan bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan amalan industri, selain memberi gambaran sebenar mengenai sektor pembungkusan yang semakin berkembang.
Katanya, label pada masa kini bukan lagi sekadar pengenal produk, malah berfungsi sebagai medium penceritaan jenama, meningkatkan interaksi pengguna, pengesahan ketulenan produk serta menyokong agenda kelestarian.
“Ramai menganggap label hanyalah pelekat pada produk, namun hakikatnya ia titik sentuhan pertama antara pengguna dan jenama. Setiap warna, tekstur, bahan serta kemasan direka dengan teliti untuk mencerminkan identiti jenama dan mewujudkan pengalaman yang bermakna kepada pengguna.
“Kami berharap program ini membuka perspektif baharu kepada pelajar bahawa label adalah gabungan kreativiti, strategi, inovasi dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian yang turut disampaikan bersama Eksekutif Pembangunan Teknikal, Low Eu Shen, serta Eksekutif Komunikasi Pemasaran, Marsya Adriana Mohd Azudin.
Sepanjang program, peserta turut didedahkan kepada pelbagai penyelesaian label inovatif yang digunakan di pasaran global termasuk label pintar, pengalaman interaktif menerusi kod QR, kemasan premium serta teknologi pembungkusan mampan.
Melalui perkongsian kajian kes jenama antarabangsa, pelajar dapat memahami bagaimana reka bentuk label, pemasaran dan proses pembuatan saling melengkapi dalam meningkatkan nilai produk serta mempengaruhi keputusan pembelian pengguna.
Sementara itu, Pensyarah Teknologi Percetakan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Puncak Alam, Nur Suzieana Hassan Nazri berkata, kerjasama bersama industri penting bagi membantu pelajar memahami aplikasi sebenar ilmu yang dipelajari di bilik kuliah.
“Melalui pendedahan secara langsung daripada pakar industri, pelajar memperoleh pemahaman lebih luas mengenai teknologi baharu, kehendak pasaran dan peluang kerjaya dalam industri percetakan serta pembungkusan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama sedemikian mampu melahirkan graduan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan selaras dengan keperluan industri yang semakin dipacu transformasi digital dan inovasi mampan.
MCC Label adalah peneraju global dalam penyelesaian label premium yang menyediakan perkhidmatan kepada jenama terkemuka dalam sektor makanan dan minuman, penjagaan diri, penjagaan rumah, minuman, penjagaan kesihatan serta produk pengguna melalui penyelesaian inovatif dan mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





