am@hmetro.com.my
Muar: Mangsa banjir di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, dekat sini meningkat lebih lima kali ganda dengan sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka malam ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat jam 11.30 malam, seramai 125 mangsa daripada 33 keluarga sudah dipindahkan.
Menurutnya, seramai 84 mangsa daripada 25 keluarga kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bulat manakala 44 lagi mangsa daripada lapan keluarga di SK Orang Kaya Ali.
“Seramai tiga bayi juga dipindahkan di kedua-dua PPS,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim berkata, kesemua mangsa banjir membabitkan penduduk Kampung Parit Bulat Darat, Parit Pecah, Seri Menanti dan Sungai Pulai serta Sungai Gersik.
Katanya, ketika ini, Pihak JKM sudah memberikan taklimat dan penerangan terhadap situasi semasa keluarga yang ditempatkan di PPS bagi memastikan sistem pengurusan mangsa bencana dapat diatur gerak lebih lancar.
“Kesemua mangsa banjir mendapat tempat berlindung selesa di setiap kubikal yang disediakan.
“Mereka dibekalkan kit keperluan diri dan makanan untuk setiap keluarga.
“Pada masa sama, kita turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada setiap keluarga bagi meringankan sedikit perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, beliau mengiringi EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hasrunizah Hassan dan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md Israk Abdullah yang melawat kedua-dua PPS terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd






