Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan ucapannya di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini, sambil menegaskan kenyataan itu bukan bertujuan menafikan status kerakyatan masyarakat bukan Melayu di negara ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ucapan berkenaan selari dengan pandangan beberapa tokoh antarabangsa terdahulu mengenai Tanah Melayu dan Malaya, termasuk Oliver Stanley, Lord Killearn serta Lord Ogmore.

Menurutnya, inti pati ucapan tersebut berkisar mengenai hubungan sejarah, politik dan kebudayaan Tanah Melayu dengan masyarakat Melayu yang merangkumi kewujudan negeri, bahasa, adat istiadat Melayu, Islam sebagai unsur sejarah negeri serta institusi Raja-raja Melayu.
“Ucapan saya bukanlah gagasan luar biasa, baharu atau terpisah daripada sejarah. Ia adalah pengulangan dalam bahasa politik semasa bagi pengakuan yang pernah dibuat secara terbuka dalam Parlimen British sejak 1946.
“Ia mempunyai persamaan tekstual dan konseptual yang jelas dengan ucapan Oliver Stanley pada 8 Mac 1946, Lord Killearn pada 13 April 1949 dan Lord Ogmore pada 29 Julai 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, penilaian terhadap sesuatu kenyataan perlu dibuat berdasarkan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya hanya melihat kepada identiti atau kedudukan politik penyampai.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, manakala bangsa lain mempunyai negara yang secara sejarah dikaitkan dengan asal-usul kaum masing-masing.
Artikel lain: Sanusi akan buat laporan polis, dakwa kenyataan diputar belit -“Saya sebut benda fakta saja”
Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila terdapat pihak yang mendakwa ia seolah-olah mempertikaikan kedudukan kerakyatan masyarakat bukan Melayu.

Muhammad Sanusi menegaskan tafsiran sedemikian melangkaui maksud sebenar ucapannya selain mengabaikan konteks keseluruhan perkara yang dibangkitkan.
“Catatan ‘Hansard’ pada 1946, 1949 dan 1957 membuktikan gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah serta satu-satunya tanah air orang Melayu yang sudah lama diakui dalam rekod rasmi Parlimen British.
“Ia bukan ciptaan saya mahupun suatu retorik politik yang baru muncul tahun ini.
“Tidak tepat untuk mengambil ucapan ini secara terasing dan memberikan gambaran saya sedang mempersoal kerakyatan masyarakat Cina dan India, sedangkan perkara yang dibahaskan ialah hubungan sejarah Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangan saya mengenai kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu,” katanya lagi.





