Samsung sekali lagi mencuri tumpuan dalam segmen telefon pintar premium apabila memperkenalkan siri Galaxy Z generasi baharu yang menggabungkan reka bentuk lebih nipis, prestasi dipertingkat serta pengalaman kecerdasan buatan (AI) yang lebih intuitif.
Pelancaran kali ini turut memperluaskan ekosistem Galaxy menerusi pengenalan jam tangan pintar Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9 yang diperkasakan Galaxy AI bagi menawarkan pengalaman lebih lancar antara telefon pintar dan peranti boleh pakai.
Barisan baharu itu merangkumi tiga model telefon boleh lipat Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8.
Galaxy Z tampil lebih nipis dan berkuasa
Tumpuan utama pelancaran kali ini terarah kepada Galaxy Z Fold8 Ultra yang membawa standard siri Ultra ke dalam keluarga telefon boleh lipat Samsung buat pertama kali.
Peranti ini direka khusus untuk pengguna yang mahukan keupayaan tahap tertinggi bagi tugasan, penciptaan kandungan dan hiburan dalam satu peranti.
Galaxy Z Fold8 Ultra hadir dengan skrin utama lapan inci yang memberikan ruang kerja lebih luas bagi tujuan berbilang tugas.
Pengalaman Galaxy AI pula membantu pengguna menyelesaikan tugasan harian dengan lebih pantas dan lancar.
Menariknya, ia merupakan model lipat paling nipis pernah dihasilkan Samsung dengan ketebalan hanya 4.1 milimeter (mm) apabila dibuka dan seberat 215 gram.
Walaupun tampil dengan reka bentuk lebih langsing, ia dikuasakan oleh cip Snapdragon® 8 Elite Gen 5 Mobile Platform for Galaxy, bateri 5,000mAh serta sistem penyejukan struktur kraf gandaan graphite baharu bagi memastikan prestasi kekal stabil.
Dari aspek fotografi, peranti ini dilengkapi kamera utama 200 megapiksel bersama kamera ultra lebar 50 megapiksel.
Ia turut menyokong rakaman video 8K berasaskan koder APV serta teknologi Nightography yang dipertingkat.
Bagi pengguna yang mengutamakan keseimbangan antara prestasi dan mobiliti, Galaxy Z Fold8 tampil sebagai model lipat paling ringan dengan berat hanya 201 gram.
Ia turut dikuasakan cip Snapdragon® 8 Elite Gen 5 for Galaxy bersama bateri 4,800mAh serta skrin utama 7.6 inci.
Sementara itu, Galaxy Z Flip8 hadir sebagai peranti boleh lipat paling nipis dan ringan pernah dihasilkan Samsung dengan berat 180 gram dan ketebalan 6.1mm apabila dibuka.
Peranti berkenaan direka untuk pengguna yang mahukan telefon pintar bergaya tanpa mengorbankan prestasi.
Berbeza dengan siri Fold, Galaxy Z Flip8 dikuasakan oleh cip pemproses Exynos 2600. Paparan FlexWindow 4.1 inci yang lebih besar membolehkan pengguna mengakses notifikasi, membalas mesej dan menggunakan fungsi Galaxy AI tanpa perlu membuka telefon.
Kamera utama 50 megapiksel bersama fungsi FlexCam, Flex Mode, FlipShot dan Mirror View pula memberi lebih kebebasan menghasilkan foto serta video kreatif dari pelbagai sudut.
Galaxy AI lebih memahami keperluan pengguna

Selain peningkatan perkakasan, Samsung memperkukuh pengalaman Galaxy AI berasaskan keupayaan agentic AI yang direka untuk memudahkan rutin harian pengguna.
Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah Now Brief yang menyediakan ringkasan maklumat penting, manakala Now Nudge memberikan cadangan pintar berdasarkan aktiviti semasa pengguna.
Integrasi Gemini Intelligence pula membolehkan pelbagai tugasan dilakukan merentas lebih 40 aplikasi menggunakan arahan suara atau teks.
Pengguna juga boleh mengurus nota, imej, rakaman suara dan dokumen menerusi Gemini Notebook dalam satu ruang kerja.
Bagi memastikan keselamatan data peribadi terpelihara, semua ciri Galaxy AI disokong oleh ekosistem keselamatan Samsung Knox dengan sokongan canggih Knox Enhanced Encrypted Protection (KEEP).
Galaxy Watch lengkapkan ekosistem Galaxy
Bagi melengkapkan ekosistem Galaxy AI, Samsung turut memperkenalkan Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9. Kedua-dua peranti ini dikuasakan oleh pemproses baharu Snapdragon Wear® Elite.

Galaxy Watch Ultra2 direka khusus untuk pengguna aktif.
Ia dilengkapi bateri 800mAh, paparan sehingga 5,000 nits serta tahap ketahanan 10ATM, IP69K dan MIL STD 810H dan persijilan piawaian menyelam EN13319.
Bagi kegunaan harian pula, Galaxy Watch9 hadir dengan rekaan aluminium yang ringan, paparan sehingga 3,000 nits serta pilihan saiz 40mm (bateri 390mAh) dan 44mm (bateri 445mAh)
Kedua-dua model dilengkapi sensor BioActive bagi membolehkan pemantauan tidur, kadar denyutan jantung, skor kesihatan jantung, tahap kecergasan, pemulihan badan dilakukan dengan lebih tepat.
Semua data diproses menggunakan Galaxy AI bagi memberikan cadangan kesihatan yang lebih diperibadikan.
Tawaran eksklusif prapesanan
Sempena pelancarannya, Samsung menawarkan ganjaran prapesanan bernilai sehingga RM1,950 bagi tempahan yang dibuat dari 22 Julai hingga 13 Ogos 2026.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuk rebat eksklusif sehingga RM800, rebat segera RM500 melalui kad bank terpilih, Samsung Rewards Points Booster sehingga RM400, baucar Samsung Reservation+ bernilai RM250 serta pelan ansuran sifar peratus sehingga 36 bulan.
Pembeli siri Galaxy Z juga layak menikmati potongan harga sehingga 30 peratus untuk aksesori Galaxy terpilih.
Bagi Galaxy Watch Ultra2 pula, pembeli awal berpeluang menebus kasut HOKA Clifton Pro, menerima Adventure Pack eksklusif, menikmati percubaan Strava selama 60 hari serta pelbagai ganjaran Samsung Members.
Galaxy Z Fold8 Ultra ditawarkan pada harga bermula RM8,099 sehingga RM10,499 mengikut kapasiti storan.
Galaxy Z Fold8 pula bermula RM7,299, manakala Galaxy Z Flip8 dijual pada harga bermula RM5,399. Bagi siri jam pintar, Galaxy Watch Ultra2 ditawarkan pada harga RM3,399, sementara Galaxy Watch9 bermula RM1,499 mengikut varian.
Pelancaran siri Galaxy Z dan Galaxy Watch baharu mencerminkan usaha Samsung memperkukuh ekosistem perantinya melalui gabungan inovasi perkakasan dan kecerdasan buatan.
Dengan pilihan model yang lebih pelbagai serta pengalaman Galaxy AI yang semakin matang, siri Galaxy Z dan Galaxy Watch baharu dilihat mampu memenuhi keperluan pengguna yang mahukan produktiviti, hiburan dan pemantauan kesihatan dalam satu ekosistem Galaxy yang saling melengkapi.
Untuk membuat pra tempahan, pengguna boleh melayari laman rasmi Samsung bagi Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8, Galaxy Z Flip8, Galaxy Watch Ultra2 dan Galaxy Watch9.
© New Straits Times Press (M) Bhd






