Glasgow saksikan kebangkitan kuasa baharu boling padang

Glasgow saksikan kebangkitan kuasa baharu boling padang

Glasgow saksikan kebangkitan kuasa baharu boling padang


Glasgow: Acara boling padang kini semakin meluas dan persaingan di Sukan Komanwel 2026 semakin sengit membuktikan negara yang sebelum ini dianggap pencabar baharu semakin hampir menyaingi kuasa tradisi sukan itu.

Antaranya beberapa negara Afrika seperti Botswana, Kenya, Namibia dan Zambia turut mempamerkan peningkatan ketara apabila menghantar barisan pemain yang mampu memberi saingan sengit.

Negara Kepulauan Pasifik termasuk Kepulauan Cook, Fiji, Niue dan Tonga juga tampil dengan prestasi mengagumkan di gelanggang SEC Centre.

Perkembangan sama turut dapat dilihat dalam acara boling padang para apabila banyak perlawanan berakhir dengan keputusan tipis dan penentuan ‘tie-break’, sekali gus menunjukkan jurang kemampuan antara negara semakin kecil.

Pemain beregu lelaki Niue, Keith Papani, mengakui pengalaman beraksi menentang pemain terbaik dunia memberi motivasi besar kepada pasukannya.

“Ia satu pengalaman yang sangat berharga. Semua pemain terbaik berada di sini dan kami berpeluang menentang sebahagian daripada mereka,” katanya.

Niue yang hanya mempunyai kira-kira 1,900 penduduk menghantar lima pemain boling padang ke Glasgow, termasuk Keith dan isterinya, Catherine Papani.

Catherine, 61, berkata penyertaan mereka di pentas antarabangsa diharap mampu menarik minat generasi muda di negara itu untuk menceburi sukan berkenaan.

“Boling padang ialah sukan merentasi generasi. Kami mahu pulang dan membangunkan pemain muda supaya ada pelapis.

“Anak-anak perempuan kami pernah bermain, tetapi mereka agak menjauhkan diri kerana bapa mereka terlalu kompetitif. Namun sekarang mereka kembali menunjukkan minat selepas melihat kami beraksi di pentas antarabangsa,” katanya.

Keith, 60, berkata ramai kanak-kanak di Niue mula menunjukkan minat terhadap boling padang.

“Kami sering menghantar gambar dan video ke tanah air. Harapnya mereka akan mencuba sukan ini.

“Perlawanan juga disiarkan di televisyen dan ramai sanggup bangun seawal jam 3 pagi untuk menontonnya. Itu menunjukkan sokongan yang cukup luar biasa,” katanya.

Sementara itu, wakil Botswana dalam acara perseorangan wanita, Boikhutso Mooketsi, menganggap boling padang sesuai disertai semua lapisan masyarakat.

“Saya mula bermain pada 2014. Sukan ini menyeronokkan dan menyegarkan minda.

“Boling padang adalah sukan untuk semua. Datanglah menyertai kami, tenangkan fikiran dan nikmati permainan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top