Kerajaan Selangor sedang meneliti sama ada terdapat keperluan dari sudut perundangan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan dakwaan yang membabitkan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semakan sedang dilakukan bersama penasihat undang-undangnya bagi mengesahkan dakwaan berkenaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita ada menerima sedikit maklumat tersebut. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang.
“Kita kena membuat verifikasi terhadap dakwaan-dakwaan tersebut atau ada dakwaan terhadap keguguran atau kehilangan kelayakan seseorang Ahli Dewan Negeri,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, beliau menjelakan, sekiranya hasil semakan mendapati terdapat keperluan untuk mengadakan PRK mengikut peruntukan undang-undang, kerajaan negeri akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya sedang menyemak dengan LA dan apa keperluannya. Kalau ada keperluan untuk kita memaklumkan kepada SPR, kita akan maklum,” ucapnya.
Artikel lain: Mahu tindakan segera, MB Selangor arah roboh kampung haram warga asing di Setia Alam
Amirudin turut memaklumkan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan ketika persidangan DUN yang akan berlangsung pada 3 Ogos ini.
“Kemungkinan Speaker akan memaklumkan dalam sesi dewan kita pada 3 Ogos nanti kerana kita ada sesi dewan,” tambahnya lagi.
Sumber: Free Malaysia Today (Mohamad Fadli)






