JEMPOL: Jemaah Menteri bersetuju agar tempoh siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) dilanjutkan sehingga meliputi era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam memastikan siasatan dijalankan secara lebih menyeluruh demi memulihkan keyakinan terhadap institusi berkenaan.
Menurutnya, Kabinet bersetuju supaya tempoh siasatan tidak hanya terhad sehingga tahun 2020, sebaliknya turut merangkumi tempoh pentadbiran PH 1.0 dan PN 1.0.
“Jemaah Menteri bersetuju agar tempoh RCI ini dilanjutkan, bukan hanya sehingga tahun 2020, tetapi turut meliputi era kerajaan PH 1.0 dan kerajaan PN 1.0. Pada hemat saya, ini merupakan satu keterbukaan yang amat baik,” katanya
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Terbuka Kampung Taman Jaya, Bahau, di sini hari ini.
Beliau berkata, semua lapan menteri daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong pendedahan laporan RCI itu serta siasatan dilakukan secara telus sekiranya terdapat unsur penyelewengan atau salah laku.
“Apabila Perdana Menteri mendedahkan laporan RCI mengenai TH, ia mendapat dokongan daripada semua lapan menteri BN.
“Kami juga mencadangkan supaya sekiranya terdapat mana-mana individu atau tokoh yang terlibat dalam penyelewengan, pecah amanah, pengubahan wang haram atau apa-apa kesalahan jenayah, mereka hendaklah dibawa ke muka pengadilan,” katanya.-UTUSAN






