Jiwa kental Kamarul, Fatimah tetap berdikari walaupun buta

Jiwa kental Kamarul, Fatimah tetap berdikari walaupun buta

Jiwa kental Kamarul, Fatimah tetap berdikari walaupun buta


am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Meskipun mengalami masalah penglihatan namun ia bukan penghalang buat pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) warga emas untuk berdikari tanpa menagih simpati ramai.

Kamarul Zaman Abd Latif, 64, dan isterinya, Siti Fatimah Abd Hamid, 62, kedua-duanya mengalami masalah penglihatan, tetap gigih melakukan pelbagai pekerjaan sejak disahkan OKU demi meneruskan kelangsungan hidup.

Pasangan yang bertemu di Pusat Latihan Gurney Latihan Gurney, Brickfields, Kuala Lumpur itu berkata, mereka tidak mahu hanya mengharapkan bantuan semata-mata termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan, sebaliknya mahu berusaha selagi masih mempunyai kudrat.

Menurut Kamarul Zaman, dia hilang penglihatan sepenuhnya sejak berusia 24 tahun selepas mengalami masalah Retinitis Pigmentosa (RP), manakala isterinya mengalami masalah katarak sejak lahir.

Katanya, keadaan itu tidak menghalangnya untuk memainkan peranan sebagai ketua keluarga dengan mencari sumber pendapatan mengikut kemampuan diri.

“Selepas disahkan OKU, saya tidak mahu duduk sahaja di rumah. Saya cuba buat pelbagai kerja untuk sara hidup dan membantu keluarga termasuk pernah bekerja kilang sebelum kami berpindah ke Melaka pada tahun 1999.

“Walaupun tidak dapat melihat seperti orang lain, saya masih mahu bekerja selagi kudrat masih ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perling.

Menurutnya, antara pekerjaan yang masih dilakukan sehingga kini termasuk mengambil upah mencuci pinggan di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya selain melakukan kerja lain yang bersesuaian dengan keupayaannya.

Katanya, kerja mencuci pinggan dilakukan setiap hari dan menjadi sumber pendapatan utama mereka ketika ini, selain membantu isterinya mengusahakan peria goreng bagi menambah pendapatan keluarga.

Ujarnya, walaupun mempunyai dua anak berusia 37 dan 31 tahun yang sudah berkeluarga, mereka tidak mahu membebankan anak-anak dan memilih mencari rezeki dengan cara sendiri selain pernah bekerja memanjat pokok untuk memetik buah kepala biarpun tidak mampu melihat.

“Sebenarnya sejak menjadi OKU ketika usia muda, kami berdua sudah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual nasi lemak di tepi jalan dan menjual buah-buahan.

“Walaupun anak sudah dewasa, kami masih lagi bekerja kerana kekurangan bukan alasan untuk kita bermalasan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, dia juga pernah menjadi atlet mewakili Melaka dalam sukan boling padang di Sukan Malaysia ( Para SUKMA) dan mencipta beberapa kejayaan dalam sukan berkenaan bermula tahun 2004 sebelum berhenti pada 2016.

Katanya, dia bersyukur masih diberikan kesihatan dan kekuatan untuk berusaha sendiri, malah bekerja menjadi cara untuk mengisi masa selain mengekalkan keyakinan diri.

“Kami tidak menolak bantuan jika diperlukan, tetapi selagi masih boleh bekerja, kami mahu usaha sendiri dan tidak mahu mengharapkan bantuan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Siti Fatimah yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah berkata, dia turut membantu suaminya menguruskan kehidupan harian selain melakukan kerja yang termampu walaupun berdepan kekangan penglihatan.

Katanya, idea menghasilkan peria kering pada awalnya sekadar suka-suka untuk kegunaan sendiri sebelum mereka mula menjualnya secara kecil-kecilan pada 2020.

“Pada mulanya kami buat sekadar untuk makan, sebelum akhirnya berjaya menambah wang sampingan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top