Glasgow: Pelumba berbasikal trek negara Lau New Joe terpaksa dikejarkan keluar menggunakan pengusung oleh pasukan perubatan selepas terbabit dalam kemalangan ketika saingan akhir acara scratch 10 kilometer (km) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 awal pagi tadi.
New Joe gagal menamatkan perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy dan direkodkan sebagai Did Not Finish (DNF) atau gagal menamatkan perlumbaan dalam keputusan rasmi.
Kemalangan itu berlaku sejurus sebelum pelumba memasuki pusingan terakhir ketika kelompok pelumba mula memecut menuju garisan penamat.
Akibat insiden itu, New Joe dilihat tidak sedarkan diri seketika di atas trek.
Sumber memaklumkan kepada Bernama bahawa pelumba berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan serius pada bahagian mulut dan gigi, selain mengadu sakit pada lutut.
Atlet yang membuat penampilan sulung pada Sukan Komanwel itu bagaimanapun dilaporkan sudah sedar semula dan kini berada di bawah pemantauan rapi di Hospital Universiti Queen Elizabeth di sini bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Dalam perlumbaan itu, pelumba England, Henry Hobbs memenangi pingat emas, manakala Thomas Cornish dari Australia meraih perak dan seorang lagi wakil England,Ethan Vernon membawa pulang gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






