mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dakwaan membabitkan seorang calon yang disebut-sebut bakal bertanding pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disenarai hitam atau nama ‘tidak bersih’ mula hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati bola sepak, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai status kelayakan individu berkenaan.
Arena Metro difahamkan, calon terbabit didakwa berdepan isu senarai hitam, termasuk dakwaan membabitkan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah ratusan ribu ringgit serta sekatan untuk ke luar negara.
Sumber memaklumkan isu berkenaan menjadi antara perkara yang ‘dibisikan’ menjelang kongres pemilihan FAM kerana individu terbabit dikatakan sedang dikaitkan dengan jawatan penting dalam badan induk bola sepak negara itu.
“Perkara ini memang menjadi bualan individu tertentu dalam bola sepak. Namun, belum lagi sampai kecoh di media sosial.
“Cuma menjadi persoalan apabila individu berkenaan tetap berani untuk bertanding walaupun namanya ketika ini tidak bersih sekali gus boleh mencemarkan Kongres Pemilihan kelak,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan semua calon yang menerima pencalonan masih menjalani proses tapisan termasuk saringan integriti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia, selain memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan.
“Jumlah (kerusi dipertandingkan) kita sudah tahu. Minat (bertanding) makin kuat berbanding yang sebelum ini. Apabila semua itu (tapisan) sudah lepas, semuanya (senarai calon) akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan.
“Kalau ikut statut FAM, kita akan umumkan 14 hari sebelum kongres. Jadi kita akan umumkan mengikut apa yang ada dalam statut,” katanya.
Sementara itu, Arena Metro yang melakukan pemeriksaan terhadap individu terbabit mendapati beliau tidak dibenarkan keluar negara ketika ini atas masalah tertentu dan perlu merujuk kepada pejabat Imigresen bagi tindakan lanjut.
Mengikut rekod, tiga nama besar sebelum ini dilaporkan mendapat pencalonan iaitu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Bukan sahaja jawatan presiden, malah pertarungan merebut jawatan naib presiden dan EXCO juga dikatakan bakal menyaksikan persaingan hebat dan membabitkan pertandingan lebih banyak penjuru.
Bagi jawatan naib presiden 1, ia dikatakan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan naib presiden 3, manakala naib presiden 2 menjadi kerusi automatik kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Berdasarkan statut baharu yang diluluskan pada 4 Jun lalu, tujuh kerusi EXCO pula dibahagikan dengan penetapan tiga kerusi untuk Persatuan Bola Sepak (FA) dan dua untuk Kelab Bola Sepak (FC).
Baki dua lagi kerusi masing-masing satu untuk pakar (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia atau Persatuan Pengadil) serta satu kerusi untuk wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd






