Kastam, BEA Cukai Indonesia laksana operasi sempadan bersama banteras penyeludupan

Kastam, BEA Cukai Indonesia laksana operasi sempadan bersama banteras penyeludupan


Tawau: Sebanyak 120 pemeriksaan dijalankan di sekitar Sabah oleh Joint Task Force yang ditubuhkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Indonesia sejak 13 Julai lepas.

Pengarah Kastam Sabah Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pemeriksaan berkenaan bagi menangani kegiatan penyeludupan di sempadan negara termasuk barangan bersubsidi.

“Kita berkongsi risikan bersama-sama Bea Cukai Indonesia yang melaksanakan pemeriksaan di kawasan perairan mereka bagi menangani kegiatan penyeludupan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara barangan seludup dirampas sepanjang operasi itu ialah 9,600 batang rokok kretek dan 40,000 batang rokok putih bernilai RM73,859.20 termasuk cukai di perairan Kampung Hidayat di sini pada 29 Julai lepas.

Ahmad Taufik berkata, modus operandi sindiket ialah membawa masuk barangan dari negara jiran menggunakan bot laju sebelum dipindahkan ke bot kecil untuk didaratkan di kawasan perkampungan atas air sekitar Tawau.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa turut merampas pelbagai barangan kawalan bersubsidi dan barangan runcit bernilai RM351,598.82 termasuk cukai di sebuah jeti haram di sini pada 27 Julai.

“Hasil pemeriksaan terhadap enam kenderaan darat dan laut di jeti berkenaan menemukan 1,100 kilogram (kg) beras super import, 1,105 kg minyak masak peket, 690 kg gula pasir serta 50 tong gas cecair petroleum (LPG) seberat 14 kg,” katanya.

Susulan rampasan di jeti haram berkenaan, pihak JKDM menahan dua lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai dalang aktiviti penyeludupan tersebut.

Beliau berkata, menerusi operasi berkenaan, sejumlah rokok seludup turut dirampas di beberapa lokasi seperti Kota Marudu, tepi jalan Keningau-Kimanis-Papar dan sekatan jalan raya di simpang Beluran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top