Pemilik anjing peliharaan Rocky, Rohini Devi berharap siasatan berhubung kematian haiwan kesayangannya itu dijalankan secara telus bagi merungkai punca sebenar kejadian serta memastikan keadilan diberikan.
Rohini berkata, dia menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain memilih untuk tidak membuat sebarang ulasan di luar saluran berkenaan.
“Saya tidak mahu pergi ke sana sini. Saya tunggu laporan DVS. Bila laporan itu keluar, saya harap keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” katanya pada sidang akhbar Keadilan untuk Rocky di Rogue@Bukit Gasing, Petaling Jaya, hari ini.

Mengimbas kejadian itu, Rohini berkata, dia pulang ke rumah selepas dimaklumkan orang ramai bahawa Rocky telah ditangkap ketika operasi menangkap anjing liar.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, dia mendapati haiwan peliharaannya sedang dijerut sebelum cuba mendapatkan semula Rocky.

Katanya, dia beberapa kali memaklumkan kepada individu di lokasi bahawa Rocky mempunyai pemilik dan sanggup menyerahkan anjing itu kepada pihak berkuasa.
“Saya kata kalau mahu ambil Rocky, saya sendiri boleh bawa dia. Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi saya merayu banyak kali supaya mereka lepaskan jerutan itu,” ujarnya.

Rohini mendakwa rayuannya tidak diendahkan, malah dia turut cuba memotong jerutan berkenaan selepas meminta anaknya mengambil gunting sebelum menggunakan pisau, namun gagal kerana tali itu terlalu keras.
Menurutnya, beberapa minit kemudian pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) tiba di lokasi dan ketika jerutan dibuka, Rocky didakwa sudah tidak bernyawa.
Dalam perkembangan sama, aktivis hak haiwan dan peguam, Rajesh Nagarajan mendakwa rakaman video tular yang memaparkan Rocky diheret dan dipukul ketika operasi tangkapan itu bercanggah dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan bahawa operasi tersebut dikatakan mematuhi SOP, sedangkan rakaman yang tular menunjukkan perkara sebaliknya.
“Jika benar dipatuhi, ini seolah-olah pembunuhan terhadap ‘Rocky’ (anjing itu) sesuatu yang betul sedangkan ia langsung tidak masuk akal.
“Kita sendiri boleh melihat rakaman video menunjukkan Rocky diheret dan dipukul sedangkan SOP menetapkan gelung yang digunakan mesti diperbuat daripada tali dan bukannya besi. Ini jelas tidak diikuti dan anjing itu telah didera,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa PDRM dan DVS menjalankan siasatan secara telus berhubung kematian Rocky.

Presidennya, Kalaivanan berkata, pihaknya tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai punca kematian haiwan itu kerana perkara tersebut perlu ditentukan menerusi siasatan rasmi DVS.
“Kami berharap DVS dan PDRM menyiasat kes ini secara telus kerana mungkin ada bahagian kejadian yang perlu diteliti sebelum video itu dirakam.
“Kami mahu kes ini melalui proses sebenar supaya keadilan dapat diberikan kepada Rocky,” ujarnya.
Menurut Kalaivanan, isu lesen haiwan juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebabkan kesakitan atau penderitaan terhadap haiwan peliharaan.
Kredit Foto: ISKANDAR ISHAK / KOSMO!
Beliau turut meminta MBDK menjelaskan status operasi berkenaan termasuk anggota yang terlibat, peralatan digunakan serta laporan kejadian.
Terdahulu, seekor anjing peliharaan dikenali sebagai Rocky dilaporkan mati ketika operasi menangkap anjing liar yang dijalankan MBDK dengan kerjasama penduduk di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada pukul 10.50 malam, 29 Julai lalu.

Insiden itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial selepas rakaman kejadian tersebut tular dan orang ramai tampil menyuarakan pandangan masing-masing.
Sumber: Kosmo! Online






