aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengiktirafan diraja daripada Thailand kepada tokoh berbasikal negara, Tan Sri Darshan Singh Gill disifatkan bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya pengiktirafan terhadap kemampuan Malaysia melahirkan pemimpin sukan bertaraf dunia.
Darshan menerima darjah kebesaran The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Kelas Kelima – Benjama Direkgunabhorn) yang dikurniakan Raja Thailand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Bhumibol Adulyadej The Great, Rama IX sebagai menghargai sumbangan lebih lima dekad beliau dalam pembangunan sukan berbasikal di Malaysia, Asia dan peringkat antarabangsa.
Pengurniaan itu disampaikan Naib Presiden Kanan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) merangkap Presiden Persatuan Berbasikal Thailand di bawah naungan diraja Raja Thailand, Jeneral Decha Hemkasri.
Darshan berkata, pengiktirafan daripada negara jiran itu cukup bermakna kerana ia melambangkan penghormatan bukan saja kepada dirinya, malah kepada Malaysia dan seluruh komuniti berbasikal.
“Sudah tentu saya gembira menerima anugerah, lebih-lebih lagi daripada negara asing dan dikurniakan Raja Thailand. Ia satu penghormatan bukan saja kepada saya, malah kepada Malaysia secara keseluruhannya dan keluarga besar sukan berbasikal,” katanya.
Mengimbau perjalanan lebih 35 tahun dalam pentadbiran sukan itu, Darshan berkata, segala-galanya bermula di Perak sebelum diberi kepercayaan memimpin Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), seterusnya Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan akhirnya menganggotai Lembaga Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Beliau juga dikenali sebagai pengasas ACC yang ditubuhkan di Ipoh pada 31 Mac 1993, sekali gus menjadi titik penting perkembangan sukan berbasikal di benua Asia.
Menurutnya, setiap tanggungjawab yang diberikan diterima dengan penuh rasa rendah diri dan beliau tidak pernah menyangka perjalanan itu akhirnya membawa kepada pengiktirafan tertinggi daripada sebuah negara luar.
“Saya berkembang selangkah demi selangkah bersama sukan berbasikal, daripada peringkat negeri ke Malaysia, kemudian Asia dan akhirnya ke Lembaga Pengurusan UCI.
“Saya sentiasa bersyukur setiap kali diberi peluang untuk berkhidmat dan percaya pengiktirafan ini juga adalah untuk Malaysia,” katanya.
Beliau turut menegaskan Malaysia kini bukan saja dikenali kerana kejayaan melahirkan pelumba bertaraf dunia seperti M Kumaresan, Rosman Alwi dan Datuk Seri Azizulhasni Awang, malah semakin dihormati dalam bidang pentadbiran sukan antarabangsa.
Katanya, pemilihan anaknya, Datuk Amarjit Singh Gill sebagai rakyat Malaysia pertama memegang jawatan Naib Presiden UCI membuktikan negara memiliki keupayaan untuk memimpin badan sukan di peringkat dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara berbasikal yang disegani.
© New Straits Times Press (M) Bhd






