MyKhas dana khusus untuk rakyat

MyKhas dana khusus untuk rakyat


PETALING JAYA: Peruntukan MyKhas digunakan khusus untuk rakyat dan bukannya Ahli Parlimen dengan Perdana Menteri berkuasa penuh dalam menentukan mekanisme dana tersebut disalurkan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan bantuan disalurkan secara terus kepada rakyat di kawasan Parlimen.

Katanya, dana itu adalah peruntukan khas Perdana Menteri seperti yang terkandung dalam dokumen Rancangan Malaysia (RMK) dan Belanjawan Negara.

“Apa yang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebutkan itu betul, tepat dan benar. Peruntukan yang dimaksudkan adalah Peruntukan Khas Perdana Menteri. Terpulang kepada beliau bagaimana untuk salurkan.

“Seperti saya (Ahli Parlimen Lembah Pantai) MyKhas tidak boleh digunakan untuk diri sendiri. MyKhas digunakan untuk rakyat, penduduk dan pengundi dalam Parlimen. Duit itu tidak pernah sekali-kali pergi kepada ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Internet Selamat di Pusat Konvensyen Imbi hari ini.

Semalam, Anwar menegaskan peruntukan kerajaan disalurkan terus kepada rakyat bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kebajikan dan bukannya kepada ahli Parlimen.

Beliau memaklumkan tiada isu sekatan peruntukan kepada mana-mana ahli Parlimen kerana dana kerajaan sememangnya digunakan untuk membiayai projek memberi manfaat terus kepada rakyat.

Anwar berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, bahawa pusat khidmatnya tidak lagi boleh mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, dana MyKhas dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, sebarang permohonan bantuan boleh disalurkan melalui agensi berkenaan khususnya di negeri-negeri pembangkang.

“Di sesetengah kawasan seperti Ampang, ia dikendalikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, manakala di Petaling Jaya diselaraskan menerusi Ketua Cabang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan.

“Jadi mekanismenya yang Perdana Menteri umumkan, ia tidak menjadi masalah atau isu kerana duit itu akan terus disampaikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN 

 



Source link

OR

Scroll to Top