am@hmetro.com.my
Kota Bharu: UMNO menegaskan pihaknya tidak pernah menafikan atau menutup sebarang kelemahan termasuk membela sebarang salah laku susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebaliknya berkata sejak awal lagi pimpinan parti menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan sekiranya benar terdapat salah laku.
“Jika benar ada salah laku, ada rasuah, ada sebarang bentuk penyelewengan, ambil tindakan dan jangan hanya bermain dengan persepsi.
“Jangan ada siapa pun yang terkecuali, sama ada orang besar mahupun orang yang kecil. Itu yang paling penting sekali. Jika ada tadbir urus yang perlu diperbaiki, maka perbaikilah.
“Kita tidak pernah menafikan ataupun menutup sebarang kelemahan ataupun membela sebarang salah laku.
“Kalau ada salah laku, ada rasuah atau sakau yang disebutkan itu, sepatutnya ketika itu adalah masa yang terbaik. Tetapi kenapa sudah hampir sembilan tahun ini tak ada seorang pun yang kena dakwa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu Empat Peringkat di sini, hari ini.
Pada masa sama, Asyraf Wajdi turut berpendapat siasatan dan kajian RCI sepatutnya tidak terhad sehingga 2020 sahaja, sebaliknya diperluaskan selepas daripada tempoh itu.
Katanya, ini kerana banyak faktor-faktor lain yang harus diambil kira dan tidak boleh hanya membandingkan sebelum kejatuhan kerajaan BN.
“Saya rasa ini penting untuk rakyat mendapatkan maklumat yang sebenar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, UMNO perlu mengakui kegagalannya dalam aspek tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika parti itu menerajui kerajaan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, perkara itu perlu dilakukan susulan pendedahan laporan RCI berkaitan pengurusan, operasi dan kewangan TH yang mencetuskan semula perdebatan mengenai tadbir urus institusi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






