Adakah saya beri ancaman dalam Parlimen? – Wan Ahmad Fayhsal

Adakah saya beri ancaman dalam Parlimen? – Wan Ahmad Fayhsal


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa tindakan Speaker Dewan Rakyat yang tidak membenarkan duduk di galeri awam di Parlimen adalah tidak masuk akal dan berlebihan.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, terdapat satu peraturan baharu dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu tidak membenarkan dirinya berada di dalam Dewan Rakyat termasuk galeri awam dan tempat pegawai bertugas.

Menurutnya, ini adalah berlebihan dan juga tidak tahu dari peraturan mana dirinya dilarang serta diharamkan untuk masuk ke tempat pemerhati, galeri awam dan tempat pegawai bertugas.

“Apakah saya diberi layanan taraf lebih rendah berbanding pegawai ahli Parlimen malah lebih rendah daripada orang awam yang hadir untuk menonton sidang Dewan? Saya ahli Dewan Rakyat yang dipilih rakyat Machang.

“Apakah saya ini memberi ancaman kepada Parlimen? Apakah muka dan keberadaan saya memberi tekanan kepada kerajaan dalam Parlimen?” soalnya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, perkara itu juga pernah terjadi pada 2018 apabila Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung daripada Parlimen selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta selepas mengingkari arahan Speaker Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat pada ketika itu membenarkan Lim untuk duduk di dalam Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan tetapi tidak boleh bersuara.

“Kenapa ketika ini, sebuah kerajaan yang diketuai oleh Ketua Reformasi Malaysia, bukan sahaja menafikan hak saya untuk membela diri dalam Jawatankuasa Khas kerana kononnya saya bawa surat layang malah saya sendiri dilarang masuk untuk memerhati,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top