Kelebihan bahasa Melayu pada pelajar asing


TERDAPAT satu usaha yang mewajibkan pelajar antarabangsa mengikuti dan lulus kursus Bahasa Melayu Komunikasi sebagai sebahagian daripada kursus mata pelajaran Umum (MPU) di institusi pengajian tinggi (IPT).

Melalui kursus Bahasa Melayu Komunikasi, pelajar antarabangsa didedahkan kepada kemahiran asas bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan situasi kehidupan harian.

Mereka mempelajari sebutan yang betul, struktur ayat asas, kosa kata yang sesuai dan adab berbahasa mengikut konteks budaya masyarakat Malaysia.

Pelajar turut digalakkan menjalani pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah melalui aktiviti lapangan, tugasan komuniti, temu ramah, lakonan dan interaksi dengan masyarakat setempat.

Pendekatan ini menjadikan bahasa Melayu bukan sekadar subjek untuk lulus peperiksaan tetapi alat komunikasi yang digunakan dalam kehidupan sebenar.

Hasilnya dapat dilihat apabila pelajar antarabangsa mula berinteraksi dengan peniaga, melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan atau berkomunikasi dengan masyarakat tempatan tanpa bergantung kepada bahasa Inggeris.

Pengalaman tersebut membuka ruang kepada mereka untuk memahami budaya, nilai dan cara hidup masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.

Apabila pelajar antarabangsa mampu menerangkan kandungan teks mudah, bertutur dalam pelbagai situasi dan menghasilkan karangan pendek dalam bahasa Melayu, mereka sebenarnya sedang menjadi duta kecil kepada bahasa tersebut.

Selepas tamat pengajian dan pulang ke negara masing-masing, pengalaman mempelajari bahasa Melayu akan terus dibawa bersama-sama.

Ada yang menggunakan kemahiran tersebut dalam kerjaya, penyelidikan atau hubungan perdagangan dengan Malaysia pada masa hadapan.

Di sinilah letaknya nilai strategik kursus Bahasa Melayu Komunikasi. Pengantarabangsaan bahasa tidak semestinya bermula dengan persidangan besar atau dasar yang kompleks.

Ia bermula dengan pelajar asing yang belajar bahasa Melayu, memahami budaya tempatan dan akhirnya menaruh rasa hormat terhadap bahasa yang dipelajarinya.

Pepatah Melayu menyebut, “tak kenal maka tak cinta”. Prinsip yang sama terpakai dalam usaha mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa.

Sukar untuk mengharapkan masyarakat dunia menghargai bahasa Melayu jika mereka tidak pernah diberi peluang untuk mengenalinya.

Oleh itu, kewajipan mengikuti kursus Bahasa Melayu Komunikasi di IPT tempatan perlu terus dipertahankan dan diperkasakan.

Peluang mengikuti kursus lanjutan bahasa Melayu juga wajar diperluas kepada pelajar antarabangsa yang berminat mendalami bahasa tersebut.

Jika dilakukan secara berterusan, universiti bukan sahaja menjadi pusat pengajian dan penyelidikan bahkan berperanan sebagai jambatan yang membawa bahasa Melayu merentasi sempadan dunia. – UTUSAN

MUHD. NORIZAM JAMIAN
Centre for Foundation and General Studies, Albukhary International University, Alor Setar, Kedah



Source link

OR

Scroll to Top