London: George Russell umum berita gembira ketika Formula 1 (F1) memasuki rehat pertengahan musim apabila mengumumkan pertunangannya dengan teman wanita sejak sekian lama, Carmen Montero Mundt.
Russell melalui separuh pertama musim F1 yang sukar apabila ketinggalan di belakang rakan sepasukan Mercedes, Kimi Antonelli dan pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dalam kedudukan kejuaraan pemandu.
Namun, kehidupan peribadinya lebih membahagiakan apabila pelumba Britain itu mengumumkan pertunangan dengan Carmen.
Pasangan itu berkongsi berita berkenaan menerusi media sosial dengan memuat naik beberapa gambar romantik bersama kapsyen ringkas berupa emoji cincin dan hati putih.
Russell dan Carmen mula berkenalan menerusi rakan bersama pada 2020 sebelum hubungan mereka semakin serius.
Russell sebelum ini turut mengakui sokongan Carmen sangat penting sepanjang perjalanan kariernya dalam F1.
Pelumba dan pasukan F1 tidak mengambil masa lama untuk mengucapkan tahniah kepada pasangan itu, dengan Alex Albon menulis: “Akhirnya. Saya sangat gembira untuk kamu berdua.”
Oscar Piastri, Pierre Gasly dan Carlos Sainz turut menyampaikan ucapan tahniah, selain dua pasukan yang pernah diwakili Russell, Williams dan Mercedes.
Ketika tidak menemani Russell di paddock F1, Carmen bekerja dalam bidang kewangan dan turut memiliki rangkaian penjagaan kulit dikenali sebagai Barriers.
© New Straits Times Press (M) Bhd
