Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dipersoal berhubung tahap ketegasan beliau dalam menangani kontroversi Jalur Gemilang di Kuala Terengganu yang didakwa berbeza berbanding tindakannya ketika insiden sama berlaku di Kepala Batas, Pulau Pinang tahun lalu.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Pengerusi DAP Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer berkata, perbezaan reaksi itu menimbulkan persoalan sama ada pendirian dalam mempertahankan maruah Jalur Gemilang benar-benar berlandaskan prinsip atau dipengaruhi oleh kepentingan politik.
Menurut beliau, ketika insiden di Kepala Batas tercetus pada tahun lalu, Akmal dilihat memberikan reaksi tegas selepas sebuah video tular memaparkan Jalur Gemilang yang didakwa dipasang secara terbalik.
“Setahun yang lalu, sebuah video tular di Kepala Batas memaparkan seorang pekerja memasang Jalur Gemilang. Akibat klip yang dipotong, bendera itu disalah anggap terbalik.
“Insiden ini dieksploitasi secara agresif apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, bergegas hadir bersama rakan-rakan politik untuk mencetuskan konfrontasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Shakir berkata, kontroversi tersebut pada ketika itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebahagian rakyat untuk memasang atau mengibarkan Jalur Gemilang kerana kesilapan teknikal atau salah faham dikhuatiri boleh berkembang menjadi isu politik.
Bagaimanapun, beliau mendakwa keadaan berbeza apabila insiden terbaharu berlaku di Kuala Terengganu, membabitkan Jalur Gemilang yang dipasang tanpa lambang bulan sabit dan bintang.
“Namun, ironinya, minggu lalu sebuah Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang yang jelas menghina lambang negara berkibar di Kuala Terengganu.
“Tiada serbuan. Tiada protes jalanan. Sebaliknya, ia disenyapkan begitu sahaja sebagai ‘kes terpencil’,” tegasnya.
Muhammad Shakir seterusnya mempersoalkan mengapa pendekatan tegas yang pernah ditunjukkan Akmal ketika insiden di Kepala Batas tidak kelihatan dalam menangani kontroversi terbaharu itu.
“Di sinilah letaknya hipokrasi yang ketara: di manakah semangat ‘pejuang bangsa’ apabila maruah bendera dicabar di tempat yang tidak memberi pulangan politik?
“Adakah nasionalisme kini hanya bernilai jika ia mendatangkan keuntungan undi?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa penghormatan terhadap Jalur Gemilang perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa mengira lokasi kejadian, pihak yang terlibat mahupun kepentingan politik.
“Rakyat Malaysia tidak boleh terus menutup mata. Inilah cermin paling jelas untuk menilai sama ada perjuangan mereka berpaksikan maruah negara, atau sekadar wayang bermuka-muka,” tambahnya lagi.
Kontroversi di Kepala Batas tercetus pada Ogos tahun lalu selepas sebuah video yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di sebuah kedai perkakasan di kawasan berkenaan tular di media sosial.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Akmal kemudian mengumumkan hasrat untuk hadir ke premis berkenaan menerusi satu perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’. Bagaimanapun, rancangan tersebut pada awalnya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada proses undang-undang.

Beberapa hari selepas itu, Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Kepala Batas sebagai tanda bantahan terhadap insiden berkenaan.
Beliau kemudiannya berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan tindakannya ketika kontroversi tersebut.
Sementara itu, kontroversi terbaharu tercetus selepas Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit dan bintang dilaporkan berkibar di Kuala Terengganu.
Artikel lain: Akmal Saleh tak gentar! Sanggup hadapi demi maruah Jalur Gemilang
Menteri Besar Terengganu bagaimanapun menyifatkan kejadian itu sebagai tidak disengajakan dan terpencil.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dilaporkan akan memastikan pemasangan Jalur Gemilang selepas ini dibuat mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Sumber: MalaysiaGazette (Kasthuri Jeevendran)
