“Nak Bahas Saya, Atau Tabung Haji?” – Anwar

“Nak Bahas Saya, Atau Tabung Haji?” – Anwar


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang memilih untuk keluar dari Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Khas berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau mempersoalkan tindakan pembangkang yang didakwa lebih mahu menjadikan ketidakhadirannya sebagai isu berbanding memberi perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan menerusi laporan RCI berkenaan.

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam.

“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Ketidakhadiran Anwar dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu menjadi pertikaian wakil pembangkang sehingga mencetuskan desakan supaya persidangan berhubung laporan RCI TH berkenaan ditangguhkan.

Perdana Menteri tidak dapat menghadiri sidang berkenaan selepas menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif semalam bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.

Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah dilaporkan memaklumkan prosedur itu berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan, manakala Anwar dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Ketika persidangan berlangsung, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan memohon supaya sidang khas berkenaan ditangguhkan berikutan ketiadaan Perdana Menteri.

Beberapa wakil rakyat PN turut mempertikaikan kewajaran perbahasan diteruskan tanpa kehadiran Anwar, termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mengibaratkan keadaan itu seperti mengadakan majlis perkahwinan tanpa pengantin.

Permintaan berkenaan bagaimanapun tidak diterima, menyebabkan wakil rakyat PN mengambil keputusan meninggalkan Dewan Rakyat ketika sidang khas itu berlangsung.

Persidangan khas berkenaan diadakan bagi membincangkan laporan RCI yang meneliti pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan setebal 211 halaman itu dikeluarkan secara rasmi pada 29 Julai lalu selepas Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula dokumen berkenaan sebagai dokumen terbuka.






Source link

OR

Scroll to Top