Guang Eng bukan penyelamat TH, mana hilangnya RM9 bilion? – Gulam Muszaffar


Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, mempersoalkan keberadaan kira-kira RM9 bilion yang didakwa sepatutnya diterima Lembaga Tabung Haji (TH) susulan proses penstrukturan institusi itu selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum 2018.

Memetik laporan MalaysiaGazette, persoalan berkenaan, katanya, kembali menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Karim, membangkitkan isu sama ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Gulam, perkara utama yang perlu diperjelaskan kerajaan ialah status dana yang dikatakan perlu dibayar oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada TH menerusi proses penstrukturan tersebut.

“Semalam ramai dalam kalangan ahli Parlimen yang bahaskan isu RCI TH, saya tertarik dan terkesan dengan hujah Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Karim.
“Beliau mempersoalkan kerajaan mana hilangnya RM9 bilion selepas proses penstrukturan TH dibuat oleh Menteri Kewangan PH1.0 Lim Guan Eng selepas pasca era BN pada 2018,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Gulam turut mempertikaikan gambaran bahawa TH ketika itu mengalami kerugian besar dengan menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara defisit aset dan liabiliti dengan kerugian sebenar.

Katanya, TH pada waktu berkenaan dilaporkan mencatat defisit RM4.1 bilion antara aset dan liabiliti dalam akaun imbangan duga, susulan pembayaran hibah yang tinggi berdasarkan kaedah perakaunan *Realisable Asset Value* (RAV).

“Definisi RAV iaitu anggaran nilai pasaran semasa untuk sesuatu aset (seperti hartanah atau pelaburan) jika ia dicairkan. Ini bermaksud defisit bukan bermaksud kerugian,” jelasnya.

Beliau menggunakan kedudukan kewangan kerajaan sebagai perbandingan, dengan menjelaskan bahawa belanjawan defisit tidak semestinya bermaksud kerajaan mengalami kerugian.

“Sebagai contoh bila kerajaan membentangkan Belanjawan Kerajaan setiap tahun. Kita sering dengar belanjawan defisit. Adakah kerajaan rugi? Tidak bukan.
“Kerajaan cuma mengalami defisit di antara pendapatan dan perbelanjaan yang perlu ditampung dengan pinjaman untuk mengimbangi kedudukan fiskal negara,” ujarnya.

Gulam kemudian menyentuh mengenai penstrukturan TH selepas BN tidak lagi menerajui kerajaan pada 2018, termasuk penubuhan UJSB oleh Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

“Sekarang kita masuk bab TH selepas BN kalah pada 2018, Lim Guan Eng tubuhkan SPV UJSB yang kononnya untuk selamatkan TH. Buat suntikan modal bernilai berbilion ringgit dengan mengeluarkan Sukuk (Bon Patuh Syariah),” katanya.

Beliau mendakwa UJSB sepatutnya melunaskan keseluruhan pinjaman sukuk tersebut, namun TH hanya menerima RM500 juta secara tunai sepanjang proses imbangan penstrukturan sehingga kini.

“UJSB sepatutnya membayar balik semua pinjaman sukuk tetapi TH hanya menerima RM500 juta tunai dalam proses imbalan penstrukturan sehingga hari ini,” katanya.

Menurut Gulam, persoalan mengenai baki RM9 bilion menjadi lebih ketara selepas Hassan membangkitkannya dalam perbahasan RCI TH, namun mendakwa perkara itu tidak dijawab kerajaan ketika perbahasan berlangsung.

Beliau pada masa sama mempersoalkan cadangan supaya tempoh siasatan RCI TH dilanjutkan sehingga 2025. Menurutnya, lanjutan tempoh itu penting bagi membolehkan keseluruhan persoalan berkaitan pengurusan serta penstrukturan TH disiasat dengan lebih menyeluruh.

Gulam turut menggesa kerajaan supaya mengambil pendekatan terbuka dalam menangani isu berkaitan TH, termasuk menjelaskan keseluruhan fakta berhubung proses penstrukturan institusi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya hanya mendedahkan kelemahan pihak tertentu sekiranya pada masa sama terdapat kelemahan sendiri yang tidak dijelaskan kepada umum.

“Jangan hanya buka cerita separuh jalan dengan mendedahkan kelemahan orang tetapi kelemahan sendiri sorok di bawah permaidani merah” tegasnya.

Artikel lain: RCI TH: “Kalau kerajaan salah, hentam dengan fakta”- Tengku Zafrul persoal tindakan pembangkang

Mengulas lanjut, Gulam turut mengkritik peranan UJSB dan Guan Eng dalam proses berkenaan, sambil menegaskan bahawa penstrukturan itu tidak wajar dianggap sebagai usaha menyelamatkan TH tanpa penjelasan menyeluruh mengenai kesannya terhadap kedudukan kewangan institusi tersebut.

“Rakyat juga perlu tahu ke mana hilangnya RM9 billion. UJSB ini bukanlah penyelamat, dalam erti kata lain Lim Guan Eng bukanlah ‘Hero TH’.
“Sebaliknya beliau adalah perosak ekosistem perniagaan dan pelaburan TH dari hanya sekadar berstatus defisit terus rugi teruk,” tambahnya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette (Nizam Zain)





Source link

OR

Scroll to Top