Sukan Asia terakhir Sharul Aimy?


KUALA LUMPUR: Atlet Gimnastik negara, Muhammad Sharul Aimy enggan membiarkan kecederaan menjadi penghalang untuk memberikan aksi terbaik di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, apatah lagi temasya itu berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di pentas Asia.

Gimnas negara itu kini berdepan koyakan meniskus yang dikesan selepas Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun tetap memilih untuk meneruskan perjuangan biarpun terpaksa mengubah sasaran asal daripada memburu pingat kepada sekurang-kurangnya melangkah ke final.

“Temasya ini hanya berlangsung empat tahun sekali, jadi saya memang tidak mahu melepaskan peluang. Kita tidak tahu apa akan berlaku empat tahun lagi.

“Mungkin ini Sukan Asia terakhir saya kerana ketika itu ramai gimnas junior yang akan meningkat naik. Jadi, sekarang saya akan berikan segala-galanya yang saya ada,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia 2026, hari ini.

Sharul berkata, dia masih mempunyai tempoh kira-kira sebulan untuk menilai tahap kecergasan sebelum membuat keputusan sama ada meningkatkan tahap kesukaran rutin yang bakal dipersembahkan di Aichi-Nagoya.

“Sebelum ini memang saya sasarkan pingat, tetapi selepas mendapat keputusan mengenai kecederaan ini, kalau dapat masuk final pun saya rasa sudah okay.

“Kita masih ada sebulan lagi, jadi kalau sempat tingkatkan rutin, saya akan lakukannya. Kalau tidak, kita lihat apa yang mampu saya lakukan,” katanya.

Menurutnya, masalah pada lutut mula dirasakan selepas Kejuaraan Asia, namun pemeriksaan ditangguhkan sehingga Sukan Komanwel berakhir bagi memastikan kecederaan itu tidak mengganggu persiapan mentalnya di Glasgow.

Pemeriksaan selepas temasya berkenaan kemudian mengesahkan koyakan meniskus, memaksa Sharul memulakan semula proses pemulihan selain menjalani rawatan suntikan plasma platelet (PRP).

“Sekarang saya sudah mengambil suntikan PRP dan memulakan semula pemulihan dari awal. Doktor memaklumkan kalau selepas Sukan Asia saya masih tidak dapat beraksi dengan baik, mungkin saya perlu menjalani pembedahan untuk kali kelima.

“Memang sangat kecewa apabila mendengarnya, tetapi itulah kehidupan seorang gimnas,” katanya.

Sharul juga sedar cabaran di Aichi-Nagoya bukan mudah apabila bakal berdepan barisan gimnas terbaik dari Jepun, China, Korea Selatan dan Filipina.

Namun, buat masa ini, fokusnya hanya satu iaitu memastikan tubuh kembali berada pada tahap terbaik tanpa menambah kecederaan sebelum turun ke Jepun untuk memberikan segala yang termampu.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top