Usahawan perlu bina kepercayaan sebelum kejar jualan


kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Usahawan perlu terlebih dahulu membina kepercayaan dan hubungan kukuh dengan pengguna menerusi kandungan digital yang konsisten, kreatif serta mempunyai nilai sebelum mengharapkan produk mereka mencatat jualan luar biasa seperti fenomena Khairul Aming.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Pemasaran), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Dr Nurdiyana Nazihah Zainal berkata, usahawan tidak boleh menjadikan jumlah pengikut atau jualan pantas sebagai matlamat utama, sebaliknya perlu membina jenama yang dipercayai sehingga pengguna mempunyai keyakinan terhadap produk yang ditawarkan.

Katanya, kekuatan jenama bukan sekadar bergantung kepada nama, logo atau identiti visual, tetapi terbentuk menerusi nilai, pengalaman dan kepercayaan yang dibina melalui interaksi berterusan dengan pelanggan.

“Usahawan perlu mengambil prinsip yang digunakan Khairul Aming seperti konsisten menghasilkan kandungan, memahami pelanggan, membina personal branding, menggunakan storytelling dan memastikan kualiti produk sentiasa terjaga.

“Namun, mereka tidak perlu meniru personaliti atau gaya beliau secara bulat-bulat kerana setiap usahawan mempunyai produk, sasaran pasaran, sumber dan identiti perniagaan yang berbeza,” katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, media sosial sepatutnya digunakan sebagai medium membina hubungan dengan pelanggan dan bukan sekadar ruang untuk mempromosikan produk.

Katanya, kandungan yang kreatif, interaktif serta memberikan hiburan, informasi dan pengalaman kepada pengguna mampu menjadikan sesuatu jenama lebih dekat dengan audiens.

“Dalam konteks Khairul Aming, beliau bukan sahaja menghasilkan kandungan berkaitan makanan, malah membina ‘personal branding’ secara konsisten menerusi kandungan digital seperti siri ’30 Hari 30 Resipi’.

“Pendekatan itu menjadikan pengguna lebih mengenali personaliti di sebalik jenama dan seterusnya meningkatkan kepercayaan terhadap produk yang ditawarkan,” katanya.

Nurdiyana berkata, kejayaan produk Sambal Nyet Bilis yang mencatat jualan RM2 juta dalam tempoh dua minit turut membuktikan bahawa kekuatan pemasaran digital perlu bergerak seiring dengan produk yang mempunyai nilai dan permintaan pasaran.

“Produk tetap menjadi asas kepada kejayaan perniagaan kerana kandungan pemasaran yang kuat sahaja tidak mencukupi sekiranya produk gagal memenuhi jangkaan pengguna.

“Media sosial bukan sekadar untuk mendapatkan tontonan, tetapi boleh menjadi saluran membina kepercayaan, memperkenalkan produk dan menggalakkan pembelian,” katanya.

Beliau berkata, usahawan juga perlu memahami bahawa kejayaan membina jenama tidak berlaku dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan konsistensi, kreativiti, inovasi, ketabahan dan komitmen terhadap kualiti.

Katanya, pendekatan penjenamaan yang kukuh turut perlu mengambil kira aspek kelestarian dengan memastikan pertumbuhan perniagaan mampu memberi manfaat dari sudut ekonomi dan sosial.

“Jenama yang lestari bukan hanya dikenali tetapi dipercayai, diingati dan terus dipilih.

“Justeru, apa yang boleh dipelajari usahawan tempatan daripada Khairul Aming ialah bagaimana membina identiti sendiri, memberikan nilai kepada pelanggan dan mengekalkan kualiti secara konsisten,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top