JPJ guna animasi dekati kanak-kanak, semai kesedaran keselamatan


PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menampilkan dan memperkenalkan kandungan animasi sebagai medium kreatif bagi menyemai kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerjasama strategik antara JPJ dan Monsta Studios Sdn. Bhd. itu penting bagi memastikan mesej keselamatan jalan raya disampaikan menerusi medium yang lebih dekat dengan generasi muda.

Beliau berkata, penggunaan animasi, kandungan digital dan penceritaan kreatif diyakini mampu menjadikan mesej keselamatan jalan raya lebih mudah difahami, diingati dan diamalkan.

“Golongan kanak-kanak menjadi sasaran utama kerana pendidikan keselamatan sejak kecil dapat membentuk sikap lebih bertanggungjawab apabila mereka meningkat dewasa.

“Apabila kita memberikan kesedaran keselamatan ini kepada kanak-kanak, secara tidak langsung ia juga dapat mengubah sikap ibu bapa mereka.

“Kalau anak-anak sendiri memberikan nasihat ataupun teguran berkenaan apa-apa kesalahan jalan raya, ini diharapkan dapat mengubah sikap supaya ibu bapa yang membawa kenderaan bersama anak-anak menjadi lebih berhati-hati,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.

Loke berkata, usaha JPJ bekerjasama dengan studio animasi itu merupakan pendekatan ‘out-of-the-box’ yang wajar dialu-alukan dalam usaha memperkukuh agenda keselamatan jalan raya negara.

Dalam pada itu, Loke berkata, kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran JPJ dalam aspek keselamatan dan peraturan jalan raya dengan kepakaran Monsta Studios dalam bidang animasi, kandungan kreatif serta komunikasi digital. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top