khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan injunksi mareva yang dibuat pelabur, Norbani P Mohideen bersama 27 yang lain bagi membekukan akaun bank sebuah syarikat pelaburan dan pengarahnya.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan perkara sedemikian untuk menyabitkan syarikat itu bersama-sama dengan pengarahnya.
Ketika ditemui selepas prosiding, peguam Norbani, Muhammad Hisyam Md Yunus berkata, kes itu memihak kepada 28 pelabur yang juga adalah anak guamnya, dengan memastikan aset pengarah dan syarikat itu tidak ‘dilarikan’.
Injunksi mareva adalah langkah perlindungan sementara bagi mengekalkan kedudukan aset sementara prosiding utama diteruskan.
Menurutnya, cubaan pihak defenden untuk membatalkan permohonan injunksi mareva termasuk pengarahnya yang dibuat oleh 28 yang lain juga tidak dibenarkan oleh pihak mahkamah.
“Mareva boleh dibenarkan. Kita menjangkakan pada Oktober ini, mahkamah akan bagi satu keputusan untuk keluarkan segala aset yang berpotensi digunakan yang wujud supaya pihak pelabur mampu dapatkan aset tersebut,” katanya.
Turut hadir mewakili Norbani dan 27 yang lain ialah, Abu Dzar Mohd Annuar.
Muhammad Hisyam berkata, tujuan pihaknya mengemukakan saman itu bagi menuntut semula hak 28 orang pelabur yang dianggarkan sebanyak RM11 juta.
“Kita ambil tindakan untuk membekukan, mencari dan juga mendapatkan hak dan duit pelabur semula.
“Kemenangan di atas kertas sahaja tidak mencukupi sekiranya aset sudah tiada apabila tiba masanya sesuatu penghakiman hendak dikuatkuasakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
