Ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik, isu keselamatan tenaga semakin menjadi agenda penting yang memberi kesan langsung terhadap ekonomi, industri dan kehidupan harian rakyat.
Konflik berlarutan di Asia Barat bukan sahaja mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global, malah turut memberi tekanan kepada kos logistik, rantaian bekalan dan perancangan perniagaan di seluruh dunia.
Kewaspadaan terhadap potensi gangguan bekalan tenaga turut disuarakan oleh Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
Dalam wawancara bersama BFM 89.9 baru-baru ini, beliau mengingatkan bahawa keadaan semasa mempunyai persamaan dengan detik sebelum penularan pandemik COVID-19 pada awal 2020.
Beliau berkata, ketika itu pelbagai amaran sudah mula kedengaran dari luar negara, namun aktiviti harian masih berjalan seperti biasa sebelum akhirnya dunia berdepan krisis besar dalam tempoh yang singkat.
“Keadaan sekarang mengingatkan saya kepada Februari 2020, ketika COVID-19 baru mula menular. Kita mendengar pelbagai berita mengenainya, tetapi kehidupan masih berjalan seperti biasa. Namun, sebulan kemudian, kita berdepan krisis besar,” katanya.
Walaupun Malaysia masih mempunyai bekalan tenaga domestik yang stabil, tahap kesiapsiagaan perlu terus diperkukuh bagi menghadapi kemungkinan perubahan mendadak di peringkat global.
Dalam konteks ini, keselamatan tenaga menuntut tanggungjawab bersama merentasi kerajaan, industri, sektor perniagaan dan rakyat bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap sebarang kejutan bekalan serta turun naik harga.
Penggunaan secara berhemah perlu terus diperkasa di semua peringkat masyarakat agar sumber dapat dimanfaatkan secara lebih mampan.
Sehubungan itu, kecekapan tenaga bukan lagi pilihan tambahan, sebaliknya pendekatan asas dalam pengurusan tenaga.
Pengoptimum kos melalui teknologi moden, kecerdasan buatan, penambahbaikan proses dan standardisasi operasi dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem bekalan tenaga domestik. Pengalaman antarabangsa turut membuktikan, kecekapan tenaga boleh memberikan impak besar terhadap kestabilan bekalan.
Kesatuan Eropah misalnya, berjaya mengurangkan penggunaan gas asli sekitar 15 hingga 18 peratus pada 2022 melalui langkah kecekapan tenaga.
Jepun dan Korea Selatan pula mencatatkan pengurangan permintaan tenaga antara 8 hingga 10 peratus pada 2022 hingga 2023 hasil perubahan tingkah laku pengguna serta pengurusan tenaga yang lebih sistematik.
Malah, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) turut menganggarkan bahawa langkah kecekapan tenaga yang mudah dilaksanakan berupaya mengurangkan permintaan sehingga sekitar 10 peratus dalam jangka pendek.
Bagi sektor perindustrian dan tenaga, cabaran kini tidak lagi tertumpu kepada kos bahan api semata-mata.
Gangguan rantaian bekalan global turut mempengaruhi kos input, tempoh penghantaran dan keputusan pelaburan dalam persekitaran yang semakin tidak menentu.
Justeru, tumpuan kini beralih kepada usaha memperkukuh daya tahan operasi, meningkatkan kecekapan serta menyokong agenda kelestarian demi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
Respon industri terhadap ketidaktentuan global
Situasi ini turut dirasai oleh Emerging EPC Sdn Bhd yang melihat ketidaktentuan geopolitik sebagai faktor utama yang meningkatkan risiko dalam ekosistem perniagaan, khususnya melibatkan perolehan, operasi dan perancangan projek.
Bagi syarikat kejuruteraan dan perkhidmatan industri ini, perubahan landskap global menuntut pendekatan yang lebih progresif serta berasaskan data bagi memastikan operasi kekal cekap dan berdaya tahan.
Pengarah Kelestarian dan Pembangunan Strategik Emerging EPC Sdn Bhd, Dr John Loh, berkata keadaan geopolitik yang tidak menentu mengukuhkan lagi keyakinan syarikat terhadap transformasi yang dimulakan sejak 2022.
Menurut beliau, syarikat yang ingin kekal berdaya saing perlu memperkukuh asas perniagaan lebih awal, bukan bertindak secara reaktif terhadap perubahan pasaran.
“Bagi kami, perjalanan transformasi ini mencerminkan keyakinan bahawa kelestarian, pendigitalan dan daya tahan tenaga bukan lagi pilihan, sebaliknya pemacu kritikal kepada perniagaan yang bersedia menghadapi masa depan serta meningkatkan kesiapsiagaan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, perubahan landskap ekonomi dan tenaga global membuktikan kepentingan untuk syarikat bergerak lebih awal dalam memperkukuh daya tahan operasi serta strategi perniagaan.
Katanya, atas sebab itu Emerging EPC memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu kelestarian, pendigitalan dan daya tahan tenaga yang semakin penting dalam menentukan kelangsungan organisasi.
Pandangan itu menggambarkan peralihan dalam dunia perniagaan hari ini, apabila kelestarian dan teknologi tidak lagi dianggap sebagai pelengkap operasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi utama pertumbuhan syarikat.
Perjalanan kelestarian Emerging EPC
Perjalanan kelestarian Emerging EPC bermula pada 2022 dengan keyakinan bahawa agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta penyahkarbonan bukan lagi sekadar keperluan pematuhan, sebaliknya komponen strategik yang mampu memperkukuh daya tahan perniagaan, meningkatkan kecekapan operasi dan menjana nilai jangka panjang kepada syarikat serta pihak berkepentingan.
Dr John berkata, sebagai perusahan kecil dan sederhana (PKS) kejuruteraan yang berkhidmat kepada sektor tenaga dan perindustrian, syarikat memberi penekanan kepada pelaksanaan inisiatif yang praktikal, boleh diukur dan berskala, dengan impak yang jelas terhadap perniagaan serta kelestarian.
“Emerging EPC antara PKS OGSE terawal secara sukarela menerbitkan laporan kelestarian tahunan berasaskan kerangka diiktiraf antarabangsa termasuk Global Reporting Initiative (GRI) dan kerangka kelestarian Bursa Malaysia, mencerminkan komitmen terhadap ketelusan serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab,” katanya.
Komitmen itu diterjemahkan melalui penerbitan laporan kelestarian secara konsisten,dengan tiga kitaran pelaporan berturut-turut yang telah membantu memperkukuh tadbir urus dalaman, meningkatkan penglibatan pemegang taruh serta mempertingkatkan pemantauan prestasi organisasi.
Pada 2024, syarikat tersebut pula telah melaksanakan pengiraan perakaunan gas rumah hijau (GHG) pertamanya mengikut metodologi Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO). Inisiatif ini memperkukuh usaha ke arah penggunaan sumber yang lebih cekap serta pengurusan tenaga yang lebih bertanggungjawab.
Seiring itu, pemantauan sistematik turut diperkenalkan terhadap penggunaan elektrik, bahan api, penjanaan sisa dan pelepasan operasi merangkumi pejabat, operasi kejuruteraan dan fasiliti fabrikasi.
Pendekatan berasaskan data ini membolehkan syarikat mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai corak penggunaan sumber, seterusnya menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat.
Bagi memperkukuh daya tahan tenaga, Emerging EPC turut melabur dalam pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung di fasilitinya bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid serta menyokong pengurangan pelepasan karbon dalam jangka panjang.
Transformasi syarikat tidak terhad kepada kelestarian, sebaliknya turut merangkumi agenda pendigitalan. Bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keterlihatan data, Emerging EPC melaksanakan sistem Odoo Enterprise Resource Planning (ERP) yang memperkemas pengurusan inventori, perancangan sumber dan operasi secara lebih bersepadu.
Selain itu, syarikat membangunkan platform digital Emerging Asset Reliability & Sustainability (EARS) yang menggabungkan pengurusan integriti aset, penyelenggaraan, pemantauan tenaga dan data kelestarian dalam satu ekosistem berpusat.
Melalui pelaksanaan inisiatif digital ini, Emerging EPC menyasarkan pengurangan pembaziran operasi, peningkatan pengurusan kitar hayat aset serta pengukuhan budaya membuat keputusan berasaskan data.
Sokongan kelestarian PETRONAS
Usaha transformasi Emerging EPC turut diperkukuhkan melalui penyertaannya dalam PETRONAS Supplier Support Programme (PSSP), yang direka khusus untuk pemain OGSE bagi merapatkan jurang keupayaan serta mempercepatkan kesiapsiagaan industri ke arah ekonomi rendah karbon.
Menurut Dr John Loh, pembentukan ekosistem OGSE yang mampan tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara industri dan pihak berkepentingan.
“Selain perjalanan transformasi kami sendiri, kami percaya pembinaan ekosistem OGSE yang mampan memerlukan sokongan dan kerjasama industri.

“Penyertaan dalam sesi libat urus bersama PETRONAS, termasuk PSSP membantu kami memahami dengan lebih mendalam aspek pelaporan kelestarian, pengurusan karbon, pendigitalan serta pelaksanaan ESG dalam organisasi,” katanya.
Program tersebut memberi tumpuan kepada tiga teras utama yang saling melengkapi dalam memperkukuh kesiapsiagaan pembekal.
Teras pertama ialah pembangunan kapasiti melalui latihan dan peningkatan pengetahuan ESG yang disesuaikan mengikut tahap kematangan syarikat dalam industri.
Teras kedua melibatkan platform Centralised Sustainability Intelligence (CSI) yang menyediakan alat untuk mengukur, mengurus dan melaporkan pelepasan karbon serta risiko kelestarian.

Teras ketiga pula merangkumi akses kepada pembiayaan mampan, termasuk Low Carbon Transition Facility (LCTF) Bank Negara Malaysia, High Tech and Green Facility (HTG), serta pelbagai instrumen pembiayaan peralihan daripada institusi kewangan rakan strategik.
Usaha ini selari dengan komitmen PETRONAS untuk mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih Menjelang 2050, selain memperkukuh amalan kelestarian merentasi rantaian bekalan melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
Pendekatan tersebut memberi penekanan kepada aspek integriti,kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, hak asasi manusia serta pengurusan pelepasan gas rumah hijau sebagai teras kepada pembangunan rantaian bekalan yang mampan.

Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan bahawa amalan perniagaan yang bertanggungjawab bukan sahaja menyokong pertumbuhan syarikat, malah menjadi asas kepada pembentukan ekosistem industri yang lebih berdaya tahan.
Dalam persekitaran global yang semakin dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan tekanan ekonomi, keterjaminan tenaga kini tidak lagi boleh dipisahkan daripada agenda kelestarian, inovasi dan peralihan tenaga.
Apa yang ditunjukkan oleh Emerging EPC membuktikan bahawa transformasi yang dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara konsisten mampu memperkukuh daya tahan organisasi, meningkatkan daya saing serta menyokong kesiapsiagaan rantaian bekalan negara.
Hakikatnya, apabila kerajaan, industri dan rakyat memainkan peranan secara bersepadu, usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara akan menjadi lebih kukuh, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
