Kelantan lebih bersedia hadapi banjir tahun ini


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan membelanjakan sebanyak RM92 juta bagi perancangan menghadapi musibah musim banjir di negeri ini.

Ia turut memfokuskan tujuh bandar utama di Kelantan melalui Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata, tujuh bandar berkenaan ialah Pasir Puteh, Tumpat, Machang, Kuala Krai, Jeli, Gua Musang dan Bachok.

Manakala menurutnya, PISMA bagi Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu sudah disiapkan.

Beliau berkata PISMA menjadi garis panduan dalam merancang dan melaksanakan sistem saliran secara sistematik, termasuk bagi pembangunan baharu serta mengenal pasti keperluan pembaikan sistem sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir.

“Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah membuat penyelenggaraan dan pemuliharaan sungai, alor, sistem saliran, kolam takungan, pintu air dan rumah pam bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan dikenal pasti di seluruh Kelantan.

“Program ini membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM92 juta iaitu RM50 juta melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan manakala RM42 juta daripada negeri bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) antara tahun 2026 hingga 2030.

“Jumlah itu menjadikan peruntukan bagi menjayakan pelaksanaan program ini adalah sebanyak RM18.4 juta setahun,” katanya dalam persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim di sini, tadi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azhar Salleh (PAS-Pulai Chondong) berhubung langkah konkrit yang akan diambil oleh kerajaan negeri sebagai persediaan menghadapi musim banjir

khususnya bagi mempertingkatkan sistem saliran dan pengurusan banjir di kawasan-kawasan rendah.

“Terdapat juga pelaksanaan projek-projek jangka panjang yang memberi impak besar iaitu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok yang dijalankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Unit Pelaksanaan Projek Persekutuan Kelantan) dengan menggunakan peruntukan persekutuan.

“Selain itu, Pogram Ramalan dan Amaran Banjir Negara bagi Negeri Kelantan di tiga lembangan Sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak yang membabitkan pemantauan aras air sungai, purata hujan dan memberi amaran melalui siren.

“Dalam memastikan program ini berjalan lancar dalam menghadapi musim

Monsoon Timur Laut (MTL), kesemua stesen sudah diselenggara merangkumi 70 Stesen Hujan, 37 Stesen Aras Air dan 50 Stesen Siren,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top