Hina Kerabat Diraja Terengganu, penganggur dipenjara tiga bulan


SEPANG: Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat hantaran berunsur penghinaan dan ancaman terhadap Kerabat Diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

24 Jun lalu, Azman Hakim Hassanuddin, 35, dihantar ke hospital psikiatrik bagi menjalani pemerhatian serta penilaian psikiatrik bagi menentukan kelayakannya untuk dibicarakan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan laporan psikiatrik Hospital Bahagia Ulu Kinta bertarikh 10 Ogos, Azman Hakim layak untuk dihadapkan ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau serta mengancam menerusi akaun X miliknya pada 19 Februari lalu.

Bagi empat pertuduhan, tertuduh didakwa membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau pada pukul 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi berunsur ancaman pada pukul 3.46 petang dengan niat untuk mengugut seseorang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal demi kepentingan awam, selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum dengan alasan perlu mengambil ubat setiap hari dan menjalani rawatan susulan bagi masalah psikiatrik.

Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan yang berkuat kuasa dari tarikh tertuduh direman pada 24 Jun lalu.

Ahmad Fuad berkata, kesalahan membabitkan institusi Diraja, agama dan sensitiviti kaum perlu dipandang serius kerana berpotensi memberi kesan besar kepada masyarakat.

Beliau berkata, prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara perlu sentiasa dihormati.

“Dengan Raja ini kita sensitif. Kita hormati Raja kita, melindungi Raja kita dan meletakkan institusi itu di tempat yang tinggi. Apabila kamu melakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah Raja-Raja,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan membabitkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi Diraja berpotensi mencetuskan kesan berantai dalam masyarakat.

Katanya, penghinaan terhadap agama atau kaum boleh menimbulkan kemarahan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi Diraja pula boleh menyebabkan maruah dan kedudukannya dipandang rendah. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top