KUALA KRAI: Mayat seorang lagi remaja yang lemas ketika mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Batu Lada, Aur Duri di sini pada Selasa lalu dijumpai kira-kira 51 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.
Mayat Muhammad Rayyan Hakimie Mohd. Yusmiza, 14, ditemukan pada pukul 1 tengah hari tadi di kawasan Sungai Kelantan dekat Kampung Bandar, Pulai Chondong, Machang selepas hampir 70 jam dihanyut arus sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mayat remaja itu kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini.
“Kita dimaklumkan bahawa mangsa dijumpai di Pulai Chondong, Machang. Operasi mencari mangsa kemudian ditutup selepas mayat remaja itu ditemukan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan tersangkut pada ranting buluh di kawasan tersebut.
Sementara itu, ibu mangsa, Norhasmiza Kamarudin, 39, berkata, dia bersyukur apabila mayat anak lelakinya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ditemui pada hari ini.
Katanya, jenazah Muhammad Rayyan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur Duri di sini pada lewat petang ini.
“Saya turut menghargai keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Hilmi Abdullah, pasukan penyelamat, penduduk kampung bersama beberapa rakan arwah anak yang membantu operasi pencarian dan membuat pengecaman terhadap mayat arwah Muhammad Rayyan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, dua pelajar Tingkatan Dua dikhuatiri hilang selepas mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Batu Lada, Aur Duri.
Bagaimanapun, mayat mangsa, Muhammad Lut Naiman Mohd. Noor Aziron, 14, ditemukan pada pukul 9.10 pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mereka berempat mandi di kawasan sungai berkenaan selepas datang dari Kampung Guchil, di sini. – UTUSAN
