Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam supaya sentiasa melakukan kebaikan dan menunjukkan belas kasihan terhadap semua haiwan, termasuk haiwan liar.
Baginda bertitah seruan itu selaras dengan intipati khutbah Jumaat bertajuk “Ihsan Terhadap Makhluk Allah SWT” yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh Selangor hari ini, selain meminta rakyat menghayati dan memahami kandungannya.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa sebagai khalifah di muka bumi, manusia memikul amanah besar untuk menjaga, memelihara dan mengurus alam dengan penuh tanggungjawab, termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan, bukit-bukau, lautan dan sungai.
“Kesemuanya merupakan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT yang mesti dijaga dan dipulihara kelestariannya.
“Hubungan manusia dengan makhluk yang lain perlulah sentiasa dibina atas dasar ihsan dan tanggungjawab,” menurut hantaran itu.
Baginda bertitah Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan belas kasihan terhadap haiwan, malah Islam mengajar umatnya supaya berbuat baik kepada haiwan dengan memberi makan dan minum atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi mana-mana haiwan ciptaan Allah SWT.
Bagaimanapun, baginda bertitah keadaan berbeza apabila haiwan liar boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan awam atau menyebabkan kerosakan harta benda.
“Dalam keadaan ini, Islam membenarkan supaya tindakan diambil bagi mengelakkan kemudaratan dan ini bertepatan dengan maqasid syariah iaitu menjaga nyawa dan juga harta,” menurut hantaran itu.
Baginda bertitah ihsan terhadap haiwan dan menjaga keselamatan manusia bukanlah dua perkara yang bertentangan.
Sebaliknya kedua-duanya merupakan sebahagian daripada keindahan ajaran Islam yang meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
