Tragedi tudung terbelit: Mangsa sedang bertugas, tutup pintu air kerana air pasang

Tragedi tudung terbelit: Mangsa sedang bertugas, tutup pintu air kerana air pasang


am@hmetro.com.my

Sabak Bernam: Polis mengesahkan kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang ditemui meninggal dunia di kunci air berdekatan sebuah hotel di sini, petang tadi, sedang bertugas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, mangsa wanita warga tempatan berusia 55 tahun bekerja sebagai penjaga kunci air JPS Sabak Bernam.

“Tujuan keberadaan mangsa di lokasi adalah bagi melakukan tugas untuk menutup pintu air susulan air pasang.

“Bagaimanapun, berlaku kemalangan yang mengakibatkan kematian wanita itu,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Md Yusof berkata, terdahulu polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4 petang.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Terdahulu, media melaporkan mangsa maut  selepas tudungnya terbelit di penggelek pintu kunci air (gate roller), hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.35 petang.

Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam bergegas ke lokasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top