Medan uji kecekapan peserta


lizamridzuan@hmetro.com.my

Segamat: Kecekapan mengawal jentera, ketahanan fizikal serta kebijaksanaan memilih laluan menjadi antara cabaran utama dalam sukan pacuan empat roda yang menuntut peserta berdepan pelbagai bentuk muka bumi dan keadaan laluan.

Elemen berkenaan bakal menjadi tumpuan pada Peninsular Safari Challenge 2026 Johor (Zon Selatan) yang berlangsung selama tiga hari dari 21 hingga 23 Ogos ini di Felda Redong 1, Segamat, Johor.

Acara anjuran Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Johor itu dijangka disertai kira-kira 100 peserta dari Johor dan negeri-negeri lain, dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Medium Core Open, Litecore Supernovis – Short Wheel Base (SWB) dan Litecore Supernovis – Long Wheel Base (LWB).

Sepanjang pertandingan, peserta akan berdepan beberapa Special Stage (SS) dengan laluan yang memerlukan kemahiran teknikal serta keupayaan mengendalikan jentera mengikut keadaan. Strategi dan ketepatan membuat keputusan turut menjadi faktor penting bagi memastikan peserta dapat menyelesaikan setiap cabaran.

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Negeri Johor, Atan Aris, berkata pertandingan berkenaan bukan hanya menguji kemampuan dan ketahanan jentera, malah memerlukan kemahiran, strategi serta kerjasama antara peserta dan kru.

“Peninsular Safari Challenge bukan sekadar menguji kemampuan dan ketahanan jentera, tetapi turut menuntut kemahiran, strategi serta semangat berpasukan dalam kalangan peserta,” katanya.

Aspek keselamatan turut diberi perhatian apabila setiap kenderaan diwajibkan menjalani pemeriksaan teknikal sebelum dibenarkan menyertai pertandingan. Pemeriksaan itu bagi memastikan jentera memenuhi keperluan pertandingan serta tahap keselamatan yang ditetapkan.

Pemilihan Felda Redong 1 sebagai lokasi pertandingan turut memberi peluang kepada peserta, keluarga, kru dan peminat 4×4 dari luar Segamat mengenali kawasan berkenaan. Kehadiran mereka sepanjang acara dijangka memberi manfaat kepada komuniti serta peniaga setempat.

Menurut Atan, penganjuran itu diharap dapat membantu mengembangkan sukan pacuan empat roda secara lebih tersusun, selain mengeratkan hubungan dalam kalangan penggiat dan peminat komuniti 4×4.

Acara itu akan dirasmikan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top