Pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew.
Sudah arah penguam buat rayuan
Menerusi media sosialnya, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memaklumkan bahawa beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk membawa rayuan terhadap keputusan berkenaan ke Mahkamah Tinggi.
“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan hari ini.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, dekat Mahkamah Tinggi kita ada peluang yang lebih baik,” katanya.
Akur & hormat keputusan mahkamah
Walaupun kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut, penyanyi lagu Topeng feat Sherry Ibrahim itu tetap akur dan menghormati keputusan mahkamah.
Caprice berkata, beliau pernah berdepan situasi sama apabila keputusan di Mahkamah Sesyen tidak memihak kepadanya sebelum memperoleh keputusan berbeza selepas kes dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Dalam video sama, Caprice turut meminta penyokongnya mendoakan satu lagi kes yang menurutnya masih berjalan di Tenom, Sabah.
“Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Kami akan merayu. Moga-moga kebenaran akan menang pada akhirnya. Terima kasih atas semua doa dan sokongan anda. Kami akan merayu dan saya akan berjumpa anda di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Ebit Lew berkongsi berita gembira apabila memenangi saman terhadap penyanyi rap dan aktivis Caprice atau Ariz Ramli berhubung dakwaan fitnah.

Menurut Ebit Lew, mahkamah memerintahkan Caprice untuk memohon maaf serta membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM220,000 kepadanya.
Sumber: Instagram caprice
