PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan terlepas peluang terbaik untuk meraih kemenangan sulung di Piala Dunia Hoki 2026 apabila diikat 3-3 oleh Perancis dalam aksi Kumpulan B di Belgium, sebentar tadi.
Selepas dikecewakan juara bertahan, Jerman 1-5 dalam perlawanan pembukaan, anak buah Brendon Carolan turun dengan misi wajib menang bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya.
Malaysia memulakan perlawanan dengan cukup meyakinkan dan berjaya mengejutkan Perancis seawal minit kelima menerusi jaringan padang Shello Silverius yang tenang menewaskan penjaga gol lawan, Corentin Saunier.
Bagaimanapun, Perancis yang berada di ranking No.9 dunia tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila pakar pukulan sudut penalti mereka, Victor Charlet menyamakan kedudukan pada minit ke-19.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu, namun gagal menambah jaringan menyaksikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Perancis terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol padang Louis Haertelmeyer pada minit ke-37 yang menewaskan penjaga gol negara, Zaimi Mat Deris.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Speedy Tigers meningkatkan tempo permainan dan berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian apabila Shello sekali lagi muncul sebagai penjaring dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol keduanya dalam perlawanan itu.
Ketika perlawanan dilihat menuju keputusan seri, Malaysia berjaya meledakkan gol ketiga menerusi Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-57 untuk meletakkan pasukan negara di ambang kemenangan pertama kejohanan.
Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Perancis sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Timothee Clement dua minit kemudian.
Kem negara sempat meraikan jaringan Fitri Saari pada penghujung permainan yang disangka gol kemenangan, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas semakan pegawai perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia dan Perancis masing-masing mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan Kumpulan B.
Cabaran lebih getir menanti Speedy Tigers apabila mereka dijadual berdepan tuan rumah yang juga pasukan No. 1 dunia, Belgium, pada Rabu ini dalam aksi terakhir kumpulan.-UTUSAN
