Pemandu lori tangki sebab kematian dua beranak didakwa esok


am@hmetro.com.my

Temerloh: Pemandu lori tangki yang terbabit nahas ngeri mengorbankan seorang ibu dan anak lelakinya di Kilometer 9 Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, Jumaat lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, esok.

Pendakwaan itu menyusul selepas tempoh reman selama empat hari terhadap lelaki berusia 37 tahun itu berakhir.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kemalangan maut.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan didenda hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Mohd Nasyim berkata, ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif dadah.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang, Jumaat lalu, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter bahan api.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbakar dan dua beranak terbabit rentung, manakala pemandu lori dilaporkan cedera ringan.

Nahas berlaku ketika kenderaan berat itu dari arah Bera ke Temerloh dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan terbalik serta menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top