NAIROBI: Lanun telah merampas sebuah kapal kargo di luar pantai Somalia, menurut pemantau pada Isnin dalam kejadian terbaharu sejak berlakunya semula serangan maritim di sekitar Tanduk Afrika.
Lapan individu menaiki dan mengambil alih kawalan sebuah kapal dagang berhampiran Marraye di Somalia, menurut amaran yang dikeluarkan oleh Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) dan Pusat Keselamatan Maritim Kesatuan Eropah Lautan Hindi (MSCIO), tanpa menamakan kapal berkenaan.
“Anak kapal dilaporkan selamat setakat ini,” kata MSCIO.
Kegiatan lanun berleluasa di luar pantai Somalia pada tahun 2000-an dan memuncak pada 2011, sebelum berkurangan dengan ketara susulan penempatan pasukan tentera laut antarabangsa serta penggunaan taktik baharu oleh kapal-kapal komersial.
Namun, lanun Somalia kembali aktif tahun ini.
Pada April dan Mei, tiga kapal tangki yang membawa minyak dan baja telah dirampas dan kini ditahan di luar pantai Somalia.
Sebuah kapal tangki bahan kimia dirampas di perairan Yemen dan dibawa ke pantai Somalia pada Julai.
Serangan itu menambah risiko kepada aktiviti perkapalan di Laut Merah, yang menjadi laluan bekalan semakin penting sejak Iran menyekat Selat Hormuz di sebelah lain Semenanjung Arab. – AFP
