Cardiff: Seekor kucing baka ‘tabby’ yang hilang 10 tahun lalu di Wales, akhirnya ditemukan semula dan dibawa pulang kepada pemiliknya, baru-baru ini, lapor BBC.
Pemiliknya, Lucy dan Hannah Robertson, berasa ‘patah hati’ pada April 2016 apabila Charlie, yang ketika itu berusia tiga tahun, hilang selepas keluarga itu berpindah ke kawasan baharu.
Charlie yang biasa berada di luar rumah menghabiskan hari-harinya berkeliaran di jalanan, namun tidak pulang selepas menghilang dalam tempoh tiga hari.
Keluarga itu kemudian menghabiskan masa berbulan-bulan mencarinya dan menerima satu atau dua maklumat mengenai keberadaan haiwan itu, tetapi usaha berkenaan tidak berhasil.
Lucy berkata, mereka turut bertanya kepada orang ramai dan membuat hantaran di Facebook, namun tiada tanda Charlie ditemukan sehingga mereka bimbang kucing itu mungkin dilanggar atau sudah tiada lagi di kawasan berkenaan.
Namun pada 29 Julai lalu, Hannah ‘tergamam’ selepas menerima panggilan dari sebuah klinik veterinar di Abercarn yang memaklumkan Charlie sudah ditemukan.
Difahamkan, seorang penduduk berhampiran menemukan Charlie tinggal di kawasan semak dan memberi makanan kepada kucing yang disangka kucing terbiar itu selama beberapa minggu sebelum membawanya ke klinik veterinar.
Klinik berkenaan kemudian menghubungi Hannah berdasarkan nombor pada mikrocip Charlie, manakala doktor haiwan turut ‘benar-benar terkejut’ selepas mengetahui kucing itu hilang selama sedekad.
Susulan penemuan, Charlie berada dalam keadaan sihat dengan bulu yang elok dan tidak kelihatan ‘tidak terurus’, manakala Hannah berkata, mereka tidak akan pernah tahu apa yang berlaku kepada kucing berkenaan sepanjang 10 tahun itu.
Dalam pada itu, Lucy berkata, Charlie mengenali mereka serta-merta, selain kelihatan sama seperti dalam gambar lama yang mereka simpan.
Menurut Lucy, usaha membiasakan Charlie tinggal bersama haiwan peliharaan mereka yang lain masih ‘dalam proses’, namun kucing itu sudah mula menikmati makanan dan perhatian yang diberikan.
Lucy berkata, Charlie masih semesra seperti 10 tahun lalu dan turut menikmati perhatian yang diterimanya.
“Sekarang saya rasa dia tahu yang dia sudah menjadi sedikit selebriti,” kata Lucy.
© New Straits Times Press (M) Bhd
