Masuk negara orang, patuhi peraturan lalu lintas negara berkenaan – PPKJR


razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu saman membabitkan penunggang motosikal Malaysia di Thailand yang tular baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan ‘perang’ antara dua negara.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Pengguna Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri berkata, ia sebaliknya perlu menjadi ruang untuk menilai integriti penguatkuasaan pihak berkuasa dan kematangan pengguna jalan raya.

Katanya, isu itu perlu dilihat secara seimbang dan masyarakat tidak seharusnya terus menerima dakwaan bahawa penunggang Malaysia ‘dizalimi polis Thailand’ dan pada masa sama, aduan penunggang tempatan juga tidak wajar diketepikan tanpa meneliti fakta sebenar.

“Perkara pertama yang perlu difahami ialah sesuatu yang dianggap ‘tidak masuk akal’ oleh kita tidak semestinya tidak menjadi kesalahan mengikut undang-undang Thailand.

“Apabila rakyat Malaysia membawa motosikal ke Thailand, mereka bukan lagi hanya tertakluk kepada undang-undang Malaysia. Sebaik berada di jalan raya Thailand, mereka perlu mematuhi peraturan lalu lintas negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Jamil Manan berkata, Thailand menetapkan pelancong asing yang memandu perlu mempunyai lesen yang sah untuk digunakan di negara itu, termasuk Permit Memandu Antarabangsa (IDP) atau lesen memandu yang dikeluarkan negara ASEAN.

“Kerajaan Thailand juga mengingatkan pelancong asing supaya memahami undang-undang lalu lintas dan peraturan keselamatan jalan raya sebelum memandu atau menunggang di negara berkenaan.

“Jadi, hujah bahawa sesuatu perkara tidak dikenakan saman di Malaysia maka ia tidak sepatutnya dikenakan saman di Thailand, tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh kerana setiap negara mempunyai bidang kuasa sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Jamil berkata, tidak bermakna setiap saman dikeluarkan pihak berkuasa Thailand perlu dianggap betul tanpa sebarang persoalan kerana penguatkuasaan juga perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan prosedur ditetapkan.

“Jika benar terdapat penunggang Malaysia dikenakan saman atas kesalahan yang tidak wujud, tidak dilakukan, berlaku salah tafsir atau tindakan diambil tanpa prosedur betul, perkara itu wajar dipersoalkan.

“Pendekatan sepatutnya ialah apabila disaman, semak kesalahan, bukti dan prosedur sebelum membuat rayuan atau aduan jika perlu. Bukan disaman, kemudian marah, viralkan dan boikot seluruh Thailand,” katanya.

Mengulas lanjut, Jamil berkata, tindakan memboikot Thailand bukan respons pertama yang paling matang, khususnya jika isu berkenaan membabitkan satu atau beberapa kes yang belum dibuktikan.

“Penunggang perlu menggunakan saluran sewajarnya sekiranya merasakan berlaku ketidakadilan. Mereka perlu meminta butiran kesalahan dan rekod saman rasmi, menyimpan gambar atau video kejadian serta mencatat lokasi, masa dan identiti pegawai jika boleh, selain mendapatkan bantuan Tourist Police atau pihak berkuasa berkaitan, membuat aduan rasmi dan mendapatkan bantuan konsular Malaysia jika perlu.

“Pendekatan mesti berdasarkan bukti, bukannya emosi. Hak untuk mempersoalkan saman tidak bermaksud seseorang mempunyai hak mengabaikan undang-undang, manakala mematuhi undang-undang pula tidak bermakna seseorang kehilangan hak membuat aduan terhadap penguatkuasaan yang tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan pihak berkuasa Thailand perlu dilaksanakan secara sah, adil, telus, konsisten dan profesional, manakala penunggang Malaysia pula bertanggungjawab mengetahui, menghormati serta mematuhi undang-undang negara berkenaan.

“Jangan sampai slogan ‘boikot Thailand’ akhirnya memberi gambaran bahawa komuniti rider Malaysia tidak mahu mematuhi undang-undang apabila berada di negara asing.

“Kita perlu mempertahankan hak penunggang, tetapi pada masa sama mempertahankan prinsip undang-undang,” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, sekumpulan 17 penunggang motosikal Malaysia ke Hat Yai, Thailand menerima 15 saman daripada pihak berkuasa Thailand yang berjumlah 15,000 baht (kira-kira RM1,850) atas pelbagai kesalahan trafik termasuk penggunaan lampu berkelip, sistem ekzos bising dan kesalahan trafik lain.

Pempengaruh media sosial, Tok Singa yang menyertai konvoi berkenaan berkongsi pengalaman itu menerusi satu hantaran di media sosial, turut mendakwa pihak berkuasa Thailand mewajibkan penunggang membawa lesen memandu fizikal kerana salinan yang dicetak daripada sumber dalam talian tanpa gambar tidak diterima.

Beliau menyifatkan tindakan penguatkuasaan berkenaan sebagai menyusahkan pelancong yang memasuki Thailand dengan motosikal dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan semula perjalanan bermotosikal ke Hat Yai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top