KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah padang lengkap sebagai kompleks sukan di setiap zon bagi memastikan tidak ada murid terpinggir dalam aktiviti sukan serta kokurikulum.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, pendekatan itu perlu mengambil kira kekangan tanah, khususnya di sekolah bandar yang berdepan keperluan menambah atau membina bangunan baharu.
Katanya, tidak semua sekolah mampu mempunyai padang sendiri seperti pada masa lalu berikutan kawasan tanah yang semakin terhad terutama di lokasi berkepadatan penduduk tinggi.
“Dulu kawasan mungkin banyak tetapi kalau di kawasan-kawasan luar bandar mungkin tentang (kawasan) padang itu tidak ada isu.
“Tapi di sekolah-sekolah di kawasan bandar, di kawasan padat penduduk, padang itu menjadi satu isu apabila ada keperluan kita tambah bangunan ataupun bina bangunan baharu, jadi mungkin kita terpaksa korbankan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini semalam.
Azam memberitahu, penyediaan sebuah padang lengkap di setiap zon sebagai antara strategi bagi memastikan murid daripada beberapa sekolah berdekatan dapat menggunakan kemudahan berkenaan secara bersama.
Katanya, ia sekali gus mampu membangunkan potensi pelajar dalam bidang sukan dan permainan.
Mohd. Azam berkata, KPM turut merancang memperluaskan penyediaan dewan terbuka di sekolah yang tidak mempunyai padang atau berdepan kekangan ruang.
Katanya, kemudahan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum.
“Jika tidak ada padang, kita cuba usahakan untuk dewan terbuka. Kalau tidak ada padang mungkin dalam dewan terbuka itu boleh dilaksanakan aktiviti-aktiviti sukan, permainan dan kokurikulum,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azam menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengendali kes melibatkan seorang guru di Pasir Mas baru-baru ini.
“Saya pasti JPN, PPD dan sekolah akan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ada,” katanya mengulas tindakan seorang guru di Pasir Mas yang didakwa memukul ibu seorang murid menggunakan tongkat semasa sesi perbincangan di pejabat sekolah.-UTUSAN.
