ATLET 400 meter (m) lari berpagar lelaki, Muhammad Adib Irfan Azizan menyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Perak dalam olahraga apabila mengungguli acara itu di sini pada Rabu.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), atlet berusia 20 tahun itu menamatkan larian dengan catatan masa 52.00 saat (s), sekali gus memperbaharui catatan terbaik peribadinya.
Tempat kedua dimenangi pelari Johor Muhammad Danish Nabil Kamarudin dengan perbezaan 0.625s manakala gangsa diraih atlet Terengganu Shazril Ashraff Shamsurbahry menerusi catatan 52.8s.
“Saya memang sasar emas. Alhamdulillah ini mungkin rezeki saya,” kata Muhammad Adib Irfan ketika ditemui selepas perlumbaan.
Mahasiswa Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut menzahirkan penghargaan kepada guru dan jurulatihnya yang berjaya mengesan bakatnya dalam acara itu walaupun terlebih dahulu terlibat dalam bola sepak.
Muhammad Adib berkata, beliau juga menuruti nasihat ibunya yang memberi galakan supaya memilih olahraga berbanding sukan berpasukan seperti bola sepak yang memerlukan aksi terbaik seluruh pasukan untuk menang.
Atlet Kelantan, Fatin Mashira Mohd Fadzil meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam acara 400 meter lari berpagar wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia, pada Rabu. Foto Bernama
Sementara itu, bagi acara 400m lari berpagar wanita, atlet, Kelantan Fatin Mashira Mohd Fadzil berjaya meraih emas keduanya di temasya berkenaan selepas muncul juara dengan catatan 1 minit 02.08 saat.
Pingat perak dimenangi Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dari Terengganu (1:02.44s), manakala gangsa menjadi milik Siti Rokiah Hashim dari Kedah (1:04.890s).
Fatin Mashira pada Ahad berjaya merangkul emas dalam acara 100m lari berpagar dengan catatan 14.49s. – Bernama
