Keganasan Rumah Tangga Catat 4,014 Kes, KPWKM Perkasa Pemandiri Menerusi SARI@KRT

Keganasan Rumah Tangga Catat 4,014 Kes, KPWKM Perkasa Pemandiri Menerusi SARI@KRT


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri hari ini merasmikan Program Santun Kasih Pemandiri @ Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Dalam ucapannya, Nancy berkata SARI@KRT diwujudkan bagi memperkukuh sokongan kepada pemandiri keganasan rumah tangga dengan menyediakan maklumat, sokongan psikososial, bantuan perundangan, perlindungan serta rujukan kepada perkhidmatan yang diperlukan.

Program ini juga memberi ruang kepada pemandiri untuk mendapatkan sokongan dan pemerkasaan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan selamat.

Sebagai tambahan info anda, keganasan bukan sekadar melibatkan penderaan fizikal je, malah turut merangkumi penderaan emosi, psikologi, seksual dan kewangan, termasuk keganasan digital atau keganasan berasaskan gender dalam talian.

Tingkah laku ganas, gangguan dan eksploitasi yang dilakukan melalui media sosial juga boleh memberikan kesan yang mendalam terhadap individu yang menjadi mangsa.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 4,014 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan sehingga Jun 2026 di seluruh negara, berbanding 3,768 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Peningkatan kes ini jelas menunjukkan bahawa isu keganasan rumah tangga menuntut perhatian dan tindakan serius daripada semua pihak.

Usaha mencegah keganasan perlu diperkukuh secara berterusan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat, memperkuatkan sistem sokongan serta memastikan bantuan di peringkat komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ini penting supaya mereka yang berdepan keganasan tidak dibiarkan bersendirian, sebaliknya mendapat bantuan, perlindungan dan rujukan kepada perkhidmatan yang diperlukan.

Inisiatif SARI@KRT merupakan inisiatif baharu kerajaan yang memberi fokus khusus kepada pemandiri yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga.

Pemandiri atau survivor merujuk kepada individu, komuniti atau kumpulan yang mempunyai pengalaman lampau berhadapan dengan keganasan, seterusnya berusaha untuk bangkit, membina daya tahan serta meneruskan kehidupan secara berdikari tanpa mengharapkan bantuan luar.

KPWKM komited sepenuhnya dalam usaha menangani isu keganasan terhadap wanita. Menerusi Jabatan Pembangunan Wanita, kementerian juga akan terus melaksanakan advokasi serta program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan agar tiada masyarakat, terutamanya golongan sasar iaitu wanita, yang tercicir daripada mendapat manfaat daripada sistem sokongan yang diwujudkan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif; Ketua Pengarah JPW, YBrs. Puan Hanani Sapit; wakil United Nations Population Fund (UNFPA) di Malaysia, Dr. Julitta Onabanjo; serta pegawai-pegawai kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.






Source link

OR

Scroll to Top