Jika zakat terhenti, siapa bantu asnaf?


BAYANGKAN suatu hari nanti semakin ramai umat Islam memilih untuk tidak lagi menunaikan zakat.

Persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada ribuan asnaf yang selama ini bergantung kepada dana zakat untuk meneruskan kehidupan?

Penolong Pengurus Besar Syariah Penerbitan dan Analisis Data, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ustaz Khairulazhar Samsudin menjelaskan, hakikatnya zakat bukan sekadar ibadah individu antara hamba dengan ALLAH.

“Bahkan ia merupakan sistem ekonomi dan kebajikan Islam yang menghubungkan golongan berada dengan mereka yang memerlukan.

“Jika rantaian itu terputus, bukan sahaja penerima akan terkesan, malah keseluruhan ekosistem kebajikan umat Islam turut tergugat,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Menghuraikan lebih lanjut, katanya, zakat berada dalam kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam.

“Jika diperhatikan Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa dan haji merupakan ibadah yang dilaksanakan secara langsung antara seorang hamba dengan ALLAH SWT.

“Namun berbeza dengan zakat kerana ibadah ini hanya sempurna apabila wujud dua pihak iaitu orang yang mengeluarkan zakat dan mereka yang berhak menerimanya.

“Di tengah-tengah hubungan itu pula terdapat institusi amil yang menguruskan kutipan dan agihan secara sistematik,” jelasnya.

Dana jadi besar bila dikumpul

Menurut Ustaz Khairulazhar, ada beranggapan lebih baik menyerahkan zakat terus kepada seseorang yang miskin untuk manfaat secara langsung.

“Walaupun niat tersebut baik, hakikatnya zakat perlu dilihat daripada sudut yang lebih besar.

“Jika seseorang mempunyai zakat RM1,000 lalu diberikan kepada sebuah keluarga, manfaatnya mungkin hanya bertahan dalam tempoh tertentu.

“Namun apabila ribuan pembayar zakat menghimpunkan zakat mereka dalam satu dana yang besar, jumlah tersebut mampu membantu ribuan penerima melalui pelbagai bentuk bantuan seperti pendidikan, perniagaan, pembinaan rumah, bantuan makanan, rawatan kesihatan dan pembangunan ekonomi,” hurainya.

Ujarnya, inilah hikmah Islam mewujudkan institusi pengurusan zakat kerana dana yang dikumpulkan secara tersusun membolehkan bantuan diagihkan secara lebih menyeluruh, bukan hanya kepada seorang atau dua individu.

Bukan sekadar bantuan kewangan

Menyambung hujah, beliau menjelaskan, ramai masih memahami zakat sekadar bantuan kepada golongan fakir dan miskin sedangkan pada hakikatnya, zakat menjadi antara instrumen terpenting dalam menjaga kebajikan sosial umat Islam.

“Antara keperluan asas yang perlu dipelihara melalui dana zakat ialah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan keperluan komunikasi seperti telefon serta internet pada masa kini.

“Daripada semua keperluan tersebut, pendidikan dan kesihatan dianggap paling kritikal,” jelasnya.

Tambahnya, melalui pendidikan, ia mampu mengubah nasib sesebuah keluarga dan memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi, begitu juga dengan aspek kesihatan.

“Seseorang yang mempunyai pendapatan sederhana boleh jatuh miskin apabila terpaksa menanggung kos rawatan kronik seperti dialisis yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan.

“Dalam keadaan seperti inilah dana zakat menjadi penyelamat kepada ramai penerima,” ujarnya.

Jambatan kasih sayang

Menurutnya lagi, ALLAH SWT menetapkan kadar zakat sebanyak 2.5 peratus daripada harta yang cukup syarat.

“Jumlah itu kelihatan kecil. Namun di sebalik angka tersebut tersembunyi satu hikmah yang besar iaitu menjadi jambatan yang menghubungkan golongan kaya dengan orang yang memerlukan.

“Orang yang memberi diikat dengan sifat ihsan dan kasih sayang. Penerima pula dididik dengan rasa syukur.

“Hubungan inilah yang menjadikan masyarakat Islam lebih sejahtera kerana jurang antara golongan berada dan miskin dapat dirapatkan,” jelasnya.

Kutipan zakat PPZ-MAIWP 2020-2024

2020 – RM756 juta

2021 – RM821.74 juta

2022 – RM928.3 juta

2023 – RM1.03 bilion

2024 – RM1.13 bilion

38 skim bantuan zakat MAIWP melalui 6 kluster pada 2026

Kebajikan

Bantuan Sara Hidup

Bantuan Persediaan Ramadan dan Aidilfitri

Bantuan Pembekalan Barangan Keperluan Asasi

Bantuan Khairat Asnaf Bantuan Sekuriti Sosial Bantuan Perkahwinan

Bantuan Guaman Syarie

Bantuan Menyelesaikan Hutang Bantuan Tambang dan Keperluan Diri

Bantuan Kecemasan Bantuan Musibah

Bantuan Insentif Khas

Perlindungan

Bantuan Deposit Sewa Rumah dan Sewa Rumah Bulanan/Pusat Perlindungan

Bantuan Membina dan Membaiki Rumah

Bantuan Deposit Pembelian Rumah

Ekonomi

Bantuan Perniagaan

Bantuan Pertanian/Perikanan/Penternakan

Bantuan Motosikal Orang Kelainan Upaya (OKU)

Bantuan Pembelian Kenderaan Perniagaan dan Perkhidmatan

Bantuan Latihan Kemahiran Industri

Perubatan

Bantuan Perubatan Am

Bantuan Peralatan Kesihatan

Bantuan Dialisis

Bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU)

Pendidikan

Bantuan Am Persekolahan/Persediaan Sekolah Berasrama

Bantuan Pakaian dan Peralatan Persekolahan

Bantuan Biasiswa Sekolah

Bantuan Tuisyen

Bantuan Am Pelajaran IPT/Persediaan IPT

Bantuan Pelajaran Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI)

Bantuan Pelajaran Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL)

Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang

Bantuan Galakan Hafaz Al-Quran

Bantuan Pemantapan Agama Islam

Bantuan Komputer Riba kepada Mahasiswa

Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pinjaman Pendidikan

Pembangunan ummah

Bantuan kepada Agensi/Badan Bukan Kerajaan (Ngo)

Bantuan kepada Institut Tahfiz dan Rumah Perlindungan



Source link

OR

Scroll to Top