am@hmetro.com.my
Miri: Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam di sebuah pasar mini di Tudan, di sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi pada 21 Ogos lalu, seorang pekerja wanita yang sedang bertugas di premis berkenaan diserang suspek selepas pintu kedai dipecahkan.
“Mangsa cedera di tangan dan bahu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Umum Miri.
“Suspek kemudian dipercayai melarikan sejumlah wang tunai serta beberapa barangan milik mangsa dan premis berkenaan, ” Katanya dalam satu kenyataan.
Hasil maklumat diterima dan siasatan dijalankan, Mohd Farhan berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri berjaya menahan tiga suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan termasuk telefon bimbit, pakaian dan sebuah motosikal, katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata berbahaya dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Beliau menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
